WILAYAH - SARAWAK > BERITA

ROMANSA TEKAD TINGKATKAN PEMBANGUNAN RAKYAT, ATASI MASALAH AIR DI SEGAMA

19/11/2025 11:21 PM

LAHAD DATU, 19 Nov (Bernama) -- Calon Pakatan Harapan (PH) Romansa Lamin bertekad meningkatkan usaha pembangunan di daerah Lahad Datu khususnya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Segama, agar rakyat dapat menikmati kemajuan yang dibawa kerajaan.

Calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 berusia 53 tahun itu berkata antara perkara yang memerlukan perhatian segera ialah untuk mengatasi masalah bekalan air bersih yang sering dihadapi penduduk kawasan berkenaan.

"Selain aktif dalam politik, saya juga aktif dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu memperjuangkan dan membela nasib rakyat, penduduk dengan menggunakan jalur NGO," katanya kepada Bernama selepas mengedarkan poster kepada pengundi Segama di sini hari ini.

Menggunakan slogan "Harapan Urang Segama", Romansa meletakkan iltizam untuk memperjuangkan kemajuan, kebajikan dan peluang seimbang buat rakyat Sabah khususnya di DUN Segama.

Beliau yang juga Pengerusi Pertubuhan Darma Bakti Lahad Datu berkata menerusi NGO itu, beliau dapat mendampingi penduduk di kawasan berkenaan dengan memberi sumbangan serta bantuan sewajarnya khususnya kepada mereka yang memerlukan bantuan termasuk pendidik dan pelajar. 

Ahli Majlis Daerah Lahad Datu sejak 2023 itu berkata rakyat di Segama layak untuk menikmati hasil pembangunan yang dilaksanakan kerajaan.

Menurutnya, bantuan itu tidak terhad kepada kawasan Segama sahaja tetapi merangkumi Lahad Datu, dan mereka bergerak menerusi NGO untuk membantu semua lapisan masyarakat, termasuk masjid, surau serta rumah ibadat lain.

"Maksudnya (bantuan) kita mencakupi keseluruhan peringkat masyarakat," kata calon yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan  Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Ijazah Sarjana Muda Sains Politik Kepujian Open Universiti Malaysia (OUM).

DUN Segama yang mempunyai 29,840 pengundi menyaksikan pertandingan tujuh penjuru.

 

N61: SEGAMA: SABAH: 29,840
 
1. Datuk Mohamaddin Ketapi (Bebas/IND)
2. Muhammad Abdul Karim (Warisan)
3. Alif Afiandy Ali (Bebas/IND)
4. Ehtisham Ur Rahman Mhaulaha (PIS)
5. Norman Kasimin (Bebas/IND)
6. Romansa Lamin (PH-PKR)
7. Yvonne Yong Yit Phung (SAPP)
 
(2020: Datuk Mohamaddin Ketapi: Warisan Plus-Warisan: Maj: 2,168)
(Kini/Now: Bebas/IND)

 

 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan