WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PM ANWAR GESA PERNIAGAAN MALAYSIA, ETHIOPIA SEGERA PERKUKUH HUBUNGAN PERDAGANGAN, PELABURAN

19/11/2025 11:23 PM

Daripada M. Saraswathi

ADDIS ABABA, 19 Nov (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru komuniti perniagaan Malaysia dan Ethiopia supaya tidak lagi membazirkan masa, sebaliknya segera memperkukuh hubungan perdagangan dan pelaburan dua hala susulan wujudnya gangguan serta cabaran di arena antarabangsa.

Beliau berkata masa telah banyak dibazirkan justeru, kini masanya untuk negara bersama-sama mendukung kestabilan, merangsang pasaran terbuka dan mencapai pertumbuhan yang inklusif serta mampan.

“Perubahan pesat dan kompleks yang tercetus ekoran ketegangan geopolitik, gangguan rantaian bekalan dan cabaran berkaitan iklim menunjukkan kepada kita, dengan lebih jelas berbanding sebelum ini, betapa pentingnya rakan yang boleh dipercayai serta keperluan untuk mempercepat hubungan perniagaan,” kata beliau.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata demikian pada Forum Perniagaan Peringkat Tinggi Ethiopia-Malaysia yang dihadiri 200 wakil perniagaan di Pusat Konvesyen Antarabangsa Addis di sini, hari ini.

Hadir sama Presiden Ethiopia Taye Atske-Selassie Amde; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz; serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Zaliha Mustafa.

Lawatan pertama Anwar ke Ethiopia selama tiga hari yang bermula semalam bertujuan mempertingkatkan hubungan perniagaan bilateral dan meneroka perkongsian pelaburan.

“Jadi, sinergi dengan sektor swasta, komuniti perniagaan, tidak boleh dipandang remeh. Kita telah membuang masa bertahun-tahun dan kini tiba masanya untuk anda memulakan persefahaman yang lebih mendalam.

“Kami membawa pasukan yang sangat besar ke Addis Ababa dan anda dijemput untuk melawat Malaysia, namun yang lebih penting adalah memulakan kerjasama dalam semua bidang ini,” kata beliau.

Anwar berkata bagi merancakkan ekonomi, Malaysia dan Ethiopia berkongsi nilai yang sama iaitu keperluan daya tahan demokratik.

“Kita tidak boleh hanya menunggu rundingan dengan Amerika Syarikat mengenai tarif atau pergantungan kita kepada laluan dengan negara dagang tradisional.

“Kita perlu terbuka dan antara sebab kita berada di sini adalah demi masa depan. Apabila banyak pihak bercakap mengenai keterlibatan unilateral, kita menyokong multilateralisme,” kata beliau.

Beliau berkata usaha itu termasuk langkah untuk menembusi pasaran baharu dan “kami agak berjaya di Amerika Latin, di Brazil, dengan rakan baik kami (Presiden) Lula da Silva.”

Wakil perniagaan di forum itu meliputi 54 syarikat Ethiopia termasuk 22 daripada sektor pembuatan, 29 melibatkan perkhidmatan dan tiga agensi kerajaan.

Anwar berkata kerjasama ekonomi Malaysia dengan Afrika telah berkembang secara berterusan dari tahun ke tahun, daripada infrastruktur telekomunikasi kepada perkhidmatan penerbangan, pendidikan, pertanian dan tenaga.

“Pembaharuan di Ethiopia, aspirasi logistik serta tenaga kerja yang muda dan dinamik mewujudkan asas kukuh terhadap kerjasama yang lebih kukuh.

“Kami melihat potensi sebenar dalam sektor pertumbuhan tinggi seperti teknologi digital, tenaga boleh baharu (TBB), agroindustri, pembangunan infrastruktur dan kewangan Islam,” kata beliau.

Perdana Menteri berkata beberapa syarikat Malaysia telah menyatakan minat untuk menjadikan Ethiopia sebagai hab strategik bagi Afrika Timur, yang menunjukkan keyakinan terhadap trajektori pertumbuhan Ethiopia.

“Sehubungan itu, Malaysia mengalu-alukan kalangan syarikat, pelabur dan inovator Ethiopia untuk bekerjasama dengan Malaysia dan meneroka peluang bukan sahaja di Malaysia, malah juga di blok ASEAN yang aktif dan merentas rantau Asia-Pasifik yang lebih luas dan berdaya saing.

“Marilah kita menjadi jambatan yang menghubungkan potensi dan dinamisme di kedua-dua rantau kita,” kata Anwar.

Sebagai negara perdagangan, Malaysia berpegang teguh kepada sistem multilateral berasaskan peraturan serta rangka kerja perdagangan berstandard tinggi seperti Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).

“Kami giat berusaha untuk memperluas rangka kerja sedemikian memandangkan perkara itu menawarkan akses pasaran lebih luas, di samping peraturan dan peluang perdagangan kukuh yang boleh dimanfaatkan melalui kerjasama Malaysia-Ethiopia,” kata Perdana Menteri.

Anwar berkata agenda transformasi Malaysia -- dipacu oleh Ekonomi MADANI dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 -- meletakkan kemampanan sebagai teras pembangunan negara.

“Kami sedang memajukan TBB, industri peralihan tenaga, mobiliti elektrik dan inisiatif ekonomi kitaran.

“Ini secara jitu adalah bidang menuju masa depan, menyaksikan kerjasama bermakna dan memberi impak, yang dapat berkembang maju antara kedua-dua negara melalui usaha sama, pertukaran teknologi dan pelaburan bersama dalam pertanian pintar iklim, tenaga bersih dan perindustrian hijau,” kata Anwar.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan