Daripada M.Saraswathi
ADDIS ABABA, 19 Nov (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Ethiopia Taye Atske-Selassie Amde yang mengadakan pertemuan rasmi hari ini, sepakat mahu memacu hubungan Putrajaya dan Addis Ababa dengan hala tuju baharu.
“Dalam semangat memperingati 60 tahun hubungan diplomatik antara kedua-dua negara, kami sehaluan bahawa ia harus dipacu dengan hala tuju baharu merentasi kerjasama tradisional kepada sektor bernilai tinggi seperti semikonduktor, ekonomi halal, keselamatan siber dan bidang strategik lain yang mampu membuka ruang pertumbuhan bersama,” kata beliau selepas pertemuan itu.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata beliau turut menzahirkan komitmen Malaysia melalui pembukaan semula Kedutaan Besar Malaysia di sini pada September lepas selaras dengan pengiktirafan terhadap Ethiopia sebagai hab diplomatik penting di benua Afrika.
“Malaysia turut mengalu-alukan penubuhan Kedutaan Ethiopia di Kuala Lumpur sebagai satu lagi langkah memperkukuh jambatan persahabatan, kepercayaan dan kerjasama dua hala.
“Semoga hubungan Malaysia dan Ethiopia terus diperkasakan dengan semangat persahabatan yang tulen, keyakinan bersama dan manfaat yang dirasai rakyat kedua-dua negara,” kata Anwar.
Ini merupakan lawatan sulung Perdana Menteri ke negara itu dalam usaha Malaysia meningkatkan lagi hubungan dengan benua Afrika menerusi ibu pejabat Kesatuan Afrika di sini.
Kesatuan Afrika yang ditubuhkan pada Julai 2002, dianggotai 55 negara dan berperanan sebagai suara perwakilan benua itu di pentas global, termasuk menggalakkan kerjasama antarabangsa.
Lawatan itu juga bagi meraikan ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik yang telah terjalin sejak Januari 1965.
Ethiopia, negara dilingkungi daratan yang paling ramai penduduk di dunia, disenaraikan sebagai rakan dagang ke-26 terbesar Malaysia di benua Afrika pada 2023 dan menjadi negara pertama dikunjungi Anwar dalam rangka lawatan beliau ke benua itu.
Pada 2024, Ethiopia disenaraikan sebagai rakan dagangan ke-26 terbesar Malaysia di benua Afrika. Nilai perdagangan dua hala antara Malaysia dan Ethiopia berjumlah RM625.6 juta, dengan eksport dari Malaysia bernilai RM579.9 juta, mewakili peningkatan 50 peratus daripada tahun sebelumnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial