WILAYAH - SARAWAK > BERITA

ANWAR MELAWAT MUZIUM PERINGATAN KEMENANGAN ADWA, MERCU TANDA NEGARA ETHIOPIA

19/11/2025 05:31 PM

Daripada M. Saraswathi

ADDIS ABABA, 19 Nov (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang kini berada di ibu negara Ethiopia, dibawa melawat mercu tanda penting negara berkenaan iaitu Muzium Peringatan Kemenangan Adwa pada hari kedua lawatan rasmi beliau.

Ketibaan beliau ke muzium itu disambut oleh Menteri Hal Ehwal Luar Ethiopia Dr Gedion Timothewos dan Datuk Bandar Addis Ababa Adanech Abiebie.

Anwar turut memeriksa kawalan kehormatan di Dataran Adwa sebelum diiringi Gedion dan Adanech dalam lawatan ke muzium berkenaan.

Menurut laman sesawang muzium itu, Pertempuran Adwa yang berlaku pada 1 Mac 1896, merupakan satu pertempuran bersejarah antara Empayar Ethiopia, yang dipimpin oleh Maharaja Menelik II, dan Kerajaan Itali di bawah Jeneral Oreste Baratieri. 

Berlaku berhampiran pekan Adwa di utara Ethiopia, pertempuran itu menyaksikan kemenangan penting bagi Ethiopia dan menandakan titik perubahan besar dalam sejarah benua Afrika.

Kemenangan itu mengekalkan kedaulatan negara dan menjadikan Ethiopia sebagai satu-satunya negara di benua Afrika yang berjaya menentang penjajahan Eropah semasa era Perebutan Afrika. 

Kejayaan di Adwa turut memberi inspirasi kepada pergerakan antipenjajahan di seluruh benua dan kekal sebagai simbol kukuh ketahanan serta kebanggaan Afrika.

Menurut laman sesawang itu, muzium berkenaan bukan sahaja meraikan kejayaan tentera tetapi juga menceritakan kisah diplomasi, keberanian, perpaduan dan semangat kebangsaan.

Dalam tempoh 11 bulan pertama 2025 sahaja, lebih 189,000 pelancong tempatan dan antarabangsa telah berkunjung ke muzium itu.

Turut hadir Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Seri Amran Mohamed Zin dan Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Malaysia di Ethiopia Mohd Afandi Abu Bakar.

Lawatan tiga hari Anwar ke negara yang mendapat julukan Tanduk Afrika itu adalah yang pertama bagi Perdana Menteri Malaysia dan juga lawatan balas susulan kunjungan rasmi Abiy ke negara ini pada Oktober tahun lepas.

Lawatan itu meraikan ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik kedua-dua negara yang telah terjalin sejak Januari 1965.

Sementara itu, Anwar dalam satu kenyataan menyifatkan muzium tersebut sebagai sangat menakjubkan kerana mengabdikan pelbagai artifak sejarah dan lukisan yang menelusuri dengan terperinci catatan sejarah, martabat, keberanian serta keteguhan rakyat Ethiopia saat berdepan kuasa imperialis Itali dalam Pertempuran Adwa 1896. 

“Ia tidak hanya mercu kejayaan rakyat dan tentera Ethiopia, tetapi menjadi simbol tegas penolakan terhadap imperalisme yang dihadapkan ke atas benua Afrika. 

“Kemenangan di Adwa menjadi petunjuk nyata serta menginspirasikan keyakinan dan sumber kekuatan kepada pelbagai gerakan kemerdekaan selepasnya yang bercambah dan melata secara menyeluruh ke seluruh benua Afrika,” kata beliau.

Perdana Menteri turut menzahirkan “salut” (tabik hormat) kepada Ethiopia kerana punyai kemampuan yang teguh dalam mengangkat nilai serta pembudayaan sejarah yang serius dan mantap untuk dunia seluruhnya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan