WILAYAH - SARAWAK > BERITA

DBKL, ADDIS ABABA CITY HALL METERAI DOKUMEN KERJASAMA

19/11/2025 11:52 PM

Daripada Saraswathi Muniappan

ADDIS ABABA, 19 Nov (Bernama) -- Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Addis Ababa City Hall hari ni mengukuhkan hubungan antara dua ibu kota, sekali gus memberi nilai strategik kepada kedua-dua pihak dengan pertukaran dokumen kerjasama. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata kerjasama direkodkan hari ini membuka ruang baharu kepada Kuala Lumpur untuk memperluas rangkaian global, memahami pendekatan pembangunan Afrika Timur dan meningkatkan kapasiti teknikal bandar selari dengan keperluan masa kini.

Menerusi hantaran di media sosialnya, Dr Zaliha berkata dokumen yang dimeterai itu meliputi lima bidang tujahan iaitu pengurusan sisa dan ekonomi kitaran, pelancongan serta budaya dan sukan, pembangunan kapasiti institusi, pengurusan taman awam serta mitigasi banjir dan ketahanan iklim.

“Kesemua bidang tujahan ini menggambarkan komitmen bersama ke arah pembinaan bandar yang lebih terancang, berdaya tahan dan berpaksikan kemampanan,” katanya.

Pertukaran dokumen kerjasama turut disaksikan Datuk Bandar Addis Ababa Adanech Abiebie.

Bagi Wilayah Persekutuan, Dr Zaliha berkata kerjasama ini seiring dengan pelaksanaan visi Bandar CHASE yang sedang digerakkan. 

“Pertukaran teknikal dengan Addis Ababa berpotensi memperkukuh dasar pembangunan bandar Kuala Lumpur khususnya dalam aspek perancangan, ruang hijau, mobiliti dan penyesuaian terhadap perubahan iklim,” katanya.

Menurut Dr Zaliha, inisiatif berkenaan juga memberi peluang kepada kedua-dua bandar untuk membangunkan latihan, pertukaran kepakaran dan projek bersama yang dapat meningkatkan keupayaan Kuala Lumpur menghadapi cabaran global seperti tekanan urbanisasi dan keperluan pembangunan lebih mampan.

Dr Zaliha kini berada di Addis Ababa, mengiringi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama delegasi Malaysia dalam lawatan rasmi ke Ethiopia bermula semalam.

Ethiopia, negara dilingkungi daratan dengan paling ramai penduduk di dunia, disenaraikan sebagai rakan dagang ke-26 terbesar Malaysia di benua Afrika pada 2024, dan menjadi negara pertama dikunjungi Anwar dalam rangka lawatan beliau ke benua itu.

Dari Addis Ababa, Perdana Menteri akan ke Johannesburg, Afrika Selatan bagi lawatan kerja bermula 20 hingga 23 Nov untuk menyertai Sidang Kemuncak Pemimpin G20.

Anwar kemudiannya akan meneruskan rangka lawatan ke Nairobi, Kenya dari 23 hingga 24 Nov sebelum pulang ke tanah air.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan