EKONOMI > BERITA

KERJASAMA MALAYSIA-ETHIOPIA DIPERKUKUH MELALUI PERTUKARAN BEBERAPA DOKUMEN PENTING - PM ANWAR

20/11/2025 01:02 PM

Daripada M. Saraswathi

ADDIS ABABA, 20 Nov (Bernama) -- Kerjasama Malaysia dan Ethiopia diperkukuh melalui pertukaran beberapa dokumen penting merentas pelbagai bidang strategik, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata langkah ini menzahirkan tekad kedua-dua negara untuk membina rangka hubungan yang lebih tersusun, inklusif dan berdaya saing demi membuka ruang kemajuan yang dapat dirasai manfaatnya oleh rakyat Malaysia dan Ethiopia.

“Saya dan PM Abiy (Dr Abiy Ahmed Ali) turut menyaksikan pertukaran beberapa dokumen penting yang akan memperkukuh kerjasama Malaysia dan Ethiopia merentas pelbagai bidang strategik.

“Dokumen tersebut merangkumi Perjanjian Perkhidmatan Udara dan Memorandum Persefahaman Kerjasama Kesihatan,” kata Anwar dalam laman media sosial beliau.

Dokumen lain ialah Memorandum Persefahaman Bidang Pelancongan, Kerjasama antara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Bandaraya Addis Ababa dan Pengumuman Pertukaran Nota bagi memulakan Konsultasi Dua Hala secara berkala.

Pada sidang media bersama, Anwar berkata beliau dan Abiy Ahmed sekali lagi menzahirkan tekad untuk memperkukuh hubungan Malaysia dan Ethiopia dalam segala dimensi berteraskan persahabatan tulen dan saling percaya.

“Kami turut menegaskan komitmen untuk memastikan setiap bentuk kerjasama antara kedua-dua negara berjalan dengan baik, teratur dan memberi manfaat nyata kepada rakyat keseluruhannya,” kata beliau.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan