IPOH, 20 Nov (Bernama) -- Pasukan Tempur Operasi Medan Kastam (COBRA) terus memperkukuh usaha memerangi penyeludupan apabila berjaya merekodkan rampasan melebihi RM312.4 juta setakat Oktober lepas.
Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin berkata rampasan itu merangkumi RM31.5 juta bagi kes dadah, rokok dan minuman keras (RM267.1 juta) serta pelbagai barangan lain (lebih RM13.8 juta).
“Pencapaian ini mengukuhkan peranan COBRA sebagai aset taktikal berimpak tinggi dalam memerangi penyeludupan dan mengekang kebocoran hasil negara,” katanya ketika berucap pada Majlis Pentauliahan dan Pemakaian Beret Tim Nukleus COBRA di Pusat Latihan Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta di sini hari ini.
Anis Rizana berharap semua anggota COBRA terus mengekalkan disiplin, integriti serta profesionalisme bagi mempertahankan ekonomi dan kedaulatan negara.
Berhubung majlis itu, beliau berkata sebanyak 22 anggota JKDM berjaya menamatkan latihan intensif selama 60 hari selepas melepasi saringan ketat melibatkan 175 calon dari seluruh negara.
Anis Rizana berkata latihan antara lain melibatkan ketahanan fizikal dan mental, kemahiran senjata api, turun cenuram serta pelbagai simulasi operasi sebenar.
“Saya merakamkan penghargaan kepada polis khususnya Pusat Latihan PGA, 69 Komando dan Unit Tindakan Khas (UTK) atas kerjasama erat, bimbingan serta sokongan dalam membentuk pasukan COBRA sehingga mencapai tahap kesiapsiagaan dan keupayaan tempur tinggi.
“Sinergi antara JKDM dan polis menjadi lambang kekuatan keselamatan negara melalui kolaborasi strategik antara agensi penguatkuasaan,” katanya.
Terdahulu, majlis dimulakan dengan persembahan demonstrasi keupayaan tempur merangkumi kawalan keselamatan peribadi, tembak taktikal dan Tempur Jarak Dekat sebelum diteruskan dengan upacara pemakaian beret.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial