Oleh Arthur Edward
KOTA KINABALU, 20 Nov (Bernama) -- Kesungguhan dan komitmen kerajaan MADANI di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menangani krisis air yang berlarutan di Sabah terbukti, menerusi peruntukan besar disalurkan untuk melaksanakan pelbagai projek di negeri itu.
Isu bekalan air yang menjadi tumpuan sejak beberapa tahun kebelakangan ini ditangani melalui kerjasama erat antara kerajaan negeri dan Persekutuan dengan inisiatif komprehensif dilaksanakan bagi menyelesaikan masalah berkenaan.
Penganalisis politik Universiti Malaysia Sabah (UMS) Prof Madya Dr Romzi Ationg berkata sejak awal penubuhan kerajaan MADANI, banyak bantuan khususnya dari segi kewangan telah disalurkan oleh kerajaan Persekutuan kepada Sabah.
"Kerajaan negeri mahupun kerajaan Persekutuan sentiasa berusaha menyelesaikan masalah air di Sabah namun perlu rasional bahawa masalah air ini tidak dapat diselesaikan dengan masa yang singkat dan ia memerlukan jangka masa yang panjang," katanya kepada Bernama.
Antara projek dilaksanakan untuk menyelesaikan masalah air di Sabah termasuk projek Loji Rawatan Air (LRA) Telibong II Fasa 2 di Tuaran yang menggandakan kapasiti loji itu daripada 80 juta liter sehari (MLD) kepada 160MLD yang telah siap Julai lepas.
Projek peluasan LRA Kogopon 2 di Papar pula disasarkan siap sepenuhnya pada Julai 2026 termasuk infrastruktur saluran paip sokongan dan penyimpanan selain pelaksanaan fasa 1 projek naik taraf Sistem Bekalan Air Lahad Datu dengan kapasiti 60 MLD juga dijangka siap Julai tahun depan.
Turut dilaksanakan LRA Mamut berkapasiti 5 MLD di Ranau yang akan menyokong pertumbuhan penduduk di daerah tersebut serta dijangka beroperasi bulan depan dan pembinaan Empangan Tawau dengan kapasiti 30 juta meter padu dijadualkan siap pada Julai 2026 sekali gus menambah rizab air yang signifikan untuk daerah itu.
Ketika membentangkan Belanjawan 2026, Perdana Menteri mengumumkan peruntukan pembangunan RM6.9 bilion untuk Sabah termasuk penyelesaian masalah air dan elektrik.
Kerajaan Persekutuan sejak 2024 telah menyalurkan RM1 bilion untuk projek air Sabah antaranya pemasangan paip di Tawau serta naik taraf paip usang di Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan yang dijangka siap tahun depan.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan UMS Prof Madya Dr Syahrudin Awang Ahmad berkata tidak dapat dinafikan kerajaan Persekutuan menunjukkan komitmen jelas dalam menangani isu air di Sabah melalui peruntukan dana besar untuk projek infrastruktur kritikal seperti LRA dan penggantian paip usang.
Katanya kerjasama erat antara kerajaan Persekutuan dan negeri menerusi Kementerian Pembangunan dan Kemudahan Infrastruktur Sabah serta Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) penting bagi memastikan projek-projek air berjalan lancar mengikut jadual, seterusnya memastikan bekalan air yang lebih stabil dan berkualiti kepada rakyat.
Syahrudin bagaimanapun berkata mana-mana pelan usaha untuk menyelesaikan isu air yang kompleks di Sabah secara menyeluruh menjelang hujung tahun 2026 adalah satu cabaran besar dan memerlukan usaha yang luar biasa.
"Walaupun terdapat komitmen dan peruntukan dana yang signifikan daripada kerajaan Persekutuan, kejayaan penyelesaian ini bergantung kepada kelancaran pelaksanaan projek besar termasuk mengatasi isu perolehan, kelewatan tapak dan pengurusan projek," katanya.
Beliau mencadangkan supaya fokus segera dan agresif diberikan terhadap pengurangan kadar air tidak berhasil (NRW) melalui program penggantian paip usang secara besar-besaran dan penggunaan teknologi pengesanan kebocoran yang canggih bagi mengatasi masalah air.
"Pemantapan tadbir urus dan ketelusan dalam JANS adalah penting untuk memastikan peruntukan dana dan pelaksanaan projek berjalan lancar tanpa ketirisan selain menggalakkan teknologi penuaian air hujan dan meneroka sumber air alternatif seperti penyahgaraman di kawasan pantai boleh menjadi strategi pelengkap," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial