Oleh Noorazlina Jindeh
LAHAD DATU, 20 Nov (Bernama) -- Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kunak Datuk Seri Dr Anil Sandhu yakin mampu meraih sokongan pengundi kawasan itu meskipun satu-satunya calon berketurunan Sikh bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Berkempen menerusi slogan “Bina Balik Kunak”, Anil, 40, berkata isu keturunan bukanlah penghalang untuk memenangi hati pengundi Kunak kerana beliau bukanlah 'orang luar', sebaliknya anak jati kawasan itu seterusnya mempunyai ikatan kukuh dengan daerah berkenaan yang majoriti penduduknya adalah Bajau serta Suluk.
"Walaupun tidak banyak (Sikh) di sini, tetapi saya membesar dengan mereka (penduduk). Saya lahir di sini, tembuni (uri) pun tanam di sini. Saya yakin dan percaya, kali ini kita ada satu suara saja, kita mahu orang Kunak. Kita mahu satu Kunak (sokong BN)," katanya kepada Bernama.
Anil berkata keyakinannya itu juga mencerminkan prinsip kesamarataan dalam keluarga Malaysia MADANI yang diamalkan di Kunak tanpa mengira latar belakang suku kaum.
Bendahari Pemuda UMNO Sabah itu berkongsi kepada Bernama visi pembangunan ekonomi jangka panjang untuk Kunak dengan mencadangkan agar tapak Pelabuhan Kunak sedia ada diperluas menjadi pelabuhan kontena yang berupaya mengubah wajah ekonomi daerah.
Beliau berkata kedalaman laut di kawasan pelabuhan yang mencecah kira-kira 8,534.4 meter sesuai untuk operasi kapal kargo besar termasuk untuk mengeksport bahan mineral dari Pantai Timur Sabah.
Anil berkata Pelabuhan Kunak sedia ada hanya mengeksport produk hiliran seperti minyak masak serta minyak sawit mentah dan yakin pembukaan pelabuhan kontena mampu menyediakan kira-kira 800 peluang pekerjaan kepada belia tempatan, sekali gus mengurangkan kadar pengangguran di Sabah.
“Kedudukan Kunak yang berada di tengah-tengah bandar utama Lahad Datu-Tawau-Semporna lebih strategik, kawasan ini (pelabuhan) sudah cukup dalam dan tidak perlu digali.
“Dengan gaji minimum yang telah ditetapkan oleh kerajaan, ditambah dengan kerja lebih masa, kalau di Kunak ini sudah cukup menampung sara hidup,” katanya.
Selain itu, Anil yang juga Exco Pemuda BN Malaysia berkata pembinaan Lebuhraya Pan Borneo yang melalui jajaran di Kunak juga akan menjadi pemangkin kepada transformasi jaringan lalu lintas untuk meningkatkan ekonomi setempat.
Di sebalik visi ekonominya, komitmen Anil terhadap kebajikan penduduk Kunak tidak pernah luntur dan sejak 2018, beliau bersama-sama pasukannya aktif turun ke lapangan bagi menyampaikan bantuan.
Beliau berkata bantuan yang diberikan termasuk lebih 10,000 bakul makanan, khairat kematian, sumbangan batu kerikil, pendidikan serta peralatan seperti kipas dan tangki air.
Sebahagian besar bantuan itu dibiayai hasil perniagaannya sendiri, termasuk program 1,500 bakul makanan setiap bulan.
Terletak kira-kira 500 kilometer dari Kota Kinabalu, DUN Kunak yang mempunyai 24,854 pemilih berdaftar pada PRN ke-17 ini adalah satu daripada DUN dalam Parlimen Lahad Datu selain Tungku, Segama dan Silam.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 29 Nov ini sebagai hari pengundian bagi PRN Sabah ke-17 dan 25 Nov bagi pengundian awal.
Untuk berita-berita terkini mengenai PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php
N63: KUNAK: SABAH: 24,854
1. Datuk Norazlinah Arif (GRS-Gagasan Rakyat)
2. Kasman Karate (PN-PAS)
3. Roselih Lumayan (PIS)
4. Ismu Isyam Arsad (PPRS)
5. Datuk Seri Anil Jeet Singh (BN-UMNO)
6. Datuk Jasa @ Ismail Rauddah (Warisan)
(2020: Norazlinah Arif: Warisan Plus-Warisan: Maj: 589)
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial