WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SELANGOR TELITI KOS, KAEDAH ANJUR SIBS DI LUAR NEGARA - AMIRUDIN

20/11/2025 03:35 PM

SHAH ALAM, 20 Nov (Bernama) -- Kerajaan Selangor sedang meneliti secara terperinci kos dan kaedah penganjuran Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) di luar negara, kata Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari. 

Beliau berkata penganjuran SIBS di luar negara diteroka sebagai langkah memperluas jaringan perdagangan pada peringkat antarabangsa, selain sebahagian daripada strategi kerajaan negeri meningkatkan nilai dagang antara Selangor, Malaysia dan rantau ASEAN.

“Selangor bersedia menjadi pintu gerbang antara Malaysia dan ASEAN dan ini antara satu strategi yang kita kemukakan. Tetapi, buat masa ini kita sedang memperhalusi aspek kos dan bagaimana penganjuran (boleh dilaksanakan).

“Strategi kita bukan hanya mempergiat pertemuan dengan pelabur di negara terbabit tetapi turut melaksanakan SIBS di negara ASEAN dan membawa produk kita ke sana sebagai misi utama,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (PN-Hulu Kelang) yang ingin tahu usaha kerajaan negeri memperkasakan hubungan dagang ASEAN.

Amirudin turut memberikan contoh negara yang boleh dijadikan lokasi penganjuran seperti Thailand, Singapura, Indonesia, Filipina atau Timor-Leste yang merupakan pasaran belum disentuh atau belum diterokai sepenuhnya.

SIBS dianjurkan kerajaan negeri melalui Invest Selangor melibatkan enam komponen utama iaitu penganjuran khusus Ekspo Taman Perindustrian Selangor (SPARK), Persidangan Perniagaan ASEAN Selangor (SABC) serta Ekspo Makanan dan Minuman Antarabangsa Selangor (SIE F&B).

Ia juga melibatkan Konvensyen Bandar Pintar dan Ekonomi Digital Selangor (SDEC), Sidang Kemuncak Aeroangkasa Selangor (SAS) dan Sidang Kemuncak Penjagaan Antarabangsa Selangor (SICS).

Pada 4 Nov, Amirudin berkata selepas lapan tahun, penganjuran SIBS yang hanya di Lembah Klang akan terus diperkasakan dengan skop serta penyertaan lebih luas termasuk meneroka lokasi di luar negara agar mampu menterjemah visi menjadikan Selangor sebagai destinasi utama pelaburan.

Beliau berkata cadangan pemerkasaan SIBS akan dirancang dan diteliti oleh Invest Selangor termasuk daripada segi kos supaya tujuan asas penganjuran iaitu mempromosi perniagaan dan Selangor sebagai destinasi pelaburan terbaik di Asia Tenggara tercapai.

Pada penganjuran edisi 2024, SIBS mencatat RM13.86 bilion nilai potensi urus niaga menerusi dua siri penganjuran manakala RM8.17 bilion direkodkan tahun ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan