
Di tengah-tengah hiruk pikuk hutan batu, terselit sebuah kebun komuniti lestari yang membekalkan sayur-sayuran dan buah-buahan segar kepada penduduk Taman Setapak Permai sejak dua tahun lalu.
Terletak agak terlindung di sebalik semak samun berdepan deretan rumah teres dan medan kenderaan penduduk sekitar, penulis seolah-olah menemukan “harta karun” apabila melihat tanaman sawi dan deretan pokok terung menghijau di depan pintu masuk kebun itu, seolah-olah menyambut kedatangan pengunjung.
“Selamat datang ke Kebun Lestari Setapak Permai. Inilah kebun komuniti lestari yang 70 peratus menggunakan sisa makanan di sekitar ibu kota,” kata seorang anak muda berbaju kelabu dan bertopi kebun, menyambut kedatangan penulis. Di tangannya sebatang cangkul.
Seolah-olah mengerti pandangan kagum bercampur pelik penulis terhadap keadaan sekeliling kebun itu, usahawan muda yang juga pengasas 4Leaf Nursery, Yap Jing Zong, 25, berkata kebun tersebut yang diusahakan bersama-sama dengan komuniti setempat, pada asalnya tapak pelupusan sampah haram.
“Dahulunya di sini merupakan tapak terbiar dan ramai penduduk di sini menjadikannya tapak pelupusan sampah, tetapi setelah dibersihkan ia menjadi sebuah kebun yang membekalkan sayur-sayuran dan buah-buahan segar kepada penduduk setempat,” katanya.
pic-2
Anak muda ini kemudian membawa penulis ke kawasan lapang yang dipenuhi serpihan kayu dan tanah lembab sebelum mencangkul tanah di situ dan menunjukkan sisa-sisa makanan berupa kulit buah-buahan yang ditanam.
“Kawasan lapang yang sedang kita pijak sekarang ini merupakan tempat sisa-sisa makanan ditanam dan seterusnya mengubah tanah di sini menjadi kompos.
“Tengok… ada cacing, ada lalat askar hitam. Semua ini bukan serangga perosak, tetapi mikrob yang mengekalkan nutrien dan makan bakteria yang menghasilkan bau busuk daripada sisa makanan,” katanya sambil menunjukkan sebahagian kompos yang diambil dari bawah tanah.
Menurut Yap, rahsia tanaman yang sihat bukan sahaja terletak pada baja, air dan keadaan persekitaran, tetapi juga struktur tanah.
“Kalau kita menjaga tanah dengan baik, maka tanah itu akan membantu tanaman kita membesar dengan sihat dan segar,” katanya.
pic-3
BERMULA DENGAN HOBI DI RUMAH
Bermula dengan hobi berkebun di rumahnya di Sungai Long, Kajang dan menghasilkan bahan kompos organik sendiri ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lima tahun lalu, Yap mula melihat potensi sisa makanan sebagai sumber rezeki.
Hasil tanaman kebun mininya seperti sayur-sayuran, buah-buahan serta tumbuhan herba sangat memberangsangkan walaupun hanya menggunakan kompos yang dihasilkan daripada sisa-sisa makanan di rumahnya.
Belajar sendiri daripada perkongsian orang ramai di YouTube serta “trial and error”, Yap berjaya menghasilkan kompos organik dalam masa tiga bulan yang kemudian dimanfaatkan untuk kebun mininya. Hasil yang dituai melimpah-ruah sehingga membolehkannya berkongsi dengan jiran tetangga.
“Selepas melihat kesuburan tanaman yang menggunakan kompos sisa makanan, saya mula ‘think big’ mahu mengusahakan kebun sendiri dengan menanam pelbagai sayuran yang boleh dikongsi bersama-sama dengan komuniti, selain mahu memanfaatkan sisa makanan untuk dijadikan baja.
“Idea ini juga kerana saya mula sedar bahawa harga sayur-sayuran dan buah-buahan menjadi mahal apabila para petani terpaksa membeli baja kimia dengan harga yang sangat tinggi daripada pembekal,” katanya.
pic-4
Tambah anak muda ini lagi dia juga kerap melihat sisa makanan terbuang dan membusuk di dalam tong sampah kerana tidak ramai yang mahu mengasingkan sisa untuk dijadikan kompos.
“Selain renyah, sisa makanan juga busuk, jadi saya wujudkan misi mahu mengurangkan sisa makanan daripada dibuang di tapak pelupusan sampah dan kembali ‘menyelamatkannya’ menjadi makanan semula (sebagai baja tanaman),” kata Yap.
Data Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) menunjukkan Malaysia menghasilkan kira-kira 40,000 tan sisa pepejal setiap hari dengan 44.5 peratus atau sekitar 18,000 tan daripadanya merupakan sisa makanan setakat September 2025.
Sebahagian besar daripada sisa makanan itu berakhir di tapak pelupusan, melepaskan gas metana dan memburukkan lagi kemerosotan alam sekitar.
KUMPUL SISA MAKANAN DARI RESTORAN, MEDAN SELERA
Masih bergelar penuntut di Tunku Abdul Rahman University of Management and Technology di Setapak, Yap memulakan misinya pada 2021 dengan mengenal pasti kawasan yang sesuai untuk dijadikan kebun dan juga tapak penghasilan kompos daripada sisa makanan di kawasan berdekatan universitinya.
“Setelah lebih kurang dua minggu mencari tapak sesuai di sekitar Setapak, akhirnya saya jumpa tapak berdekatan Maju Home. Di sini saya banyak jalankan aktiviti pengkomposan. Kemudian pada pertengahan 2023 saya berpindah ke tapak sekarang.
“Bayangkan, kawasan ini terbiar dan dijadikan tapak pelupusan sampah selama 20 tahun. Saya ambil masa lebih kurang sebulan untuk bersihkan tapak ini,” jelasnya.
Katanya kerja-kerja pengutipan sisa makanan dilakukan seawal 3.30 pagi, menaiki basikal yang diubah suai.
“Saya dapatkan sisa makanan dari kediaman dan juga restoran hampir setiap hari. Ada pemilik restoran baik hati memberikan sisa makanan kepada saya secara percuma, namun ada yang mengambil kesempatan untuk mengenakan bayaran,” katanya.
Menjelang 7 pagi dia akan kembali ke tapak itu dan memulakan kerja-kerja membuat kompos sebelum ke dewan kuliah pada 9 pagi.
“Memang meletihkan sehinggakan ada masa saya terlelap di dalam kelas. Namun, di sebalik cabaran itu, saya berjaya menamatkan pengajian dengan kepujian tertinggi,” katanya yang memiliki ijazah sarjana muda dalam bidang kejuruteraan mekatronik.
“Ketika di universiti, tatkala rakan-rakan pergi bercuti ketika cuti semester ataupun ‘happy hour’ selepas kelas, saya memilih untuk menghabiskan masa saya bersama-sama dengan sisa-sisa makanan, kompos dan tanaman saya, selain melakukan pelbagai kerja-kerja sampingan untuk membiayai projek kebun saya,” katanya, menambah ketika itu dia sudah menanam azam untuk membina kerjaya dalam bidang pertanian khususnya penghasilan kompos.
pic-5
Ujar Yap, di peringkat awal hasratnya ditentang oleh ahli keluarga kerana menganggap industri pembuatan kompos itu kotor.
“... terutamanya ibu saya yang kata saya sudah gila. Mereka bimbang ramai orang tidak mahu mendekati saya kerana saya berbau busuk, terutamanya selepas mengutip sampah dan sisa-sisa makanan.
“Namun lama-kelamaan, setelah hasil titik peluh saya mula terserlah, barulah mereka menerima dan menyokong apa yang saya perjuangkan selama ini,” katanya. Keringatnya berbayar menerusi penubuhan projek sosial ‘Trash to TrashURE’ dan 4Leaf Nursery pada 2023.
GUNA DAUN KERING ELAKKAN BAU BUSUK
Menurut Yap, proses pembuatan kompos bukan sekadar membuang sisa ke dalam tong sampah tetapi merupakan satu ekosistem tersusun yang melibatkan mikroorganisma dan serangga.
“Pengkomposan ialah proses pereputan semula jadi yang melibatkan bahan organik seperti sisa makanan dan tanaman untuk menghasilkan tanah yang kaya dengan zat , dijana oleh mikroorganisma dan ‘pekerja’ semula jadi dalam tanah seperti cacing tanah, siput dan kulat.
“Sisa dapur (kulit buah, serbuk kopi, kulit telur) diuraikan dengan bantuan cacing dan serangga, manakala sisa makanan masak (nasi, ikan, daging) memerlukan bakteria seperti lactobacillus dan kulat seperti aspergillus dan penicillium,” jelasnya.
pic-6
Sedar kebanyakan orang tidak suka dengan bau busuk daripada pengkomposan, Yap berkata dia menemukan cara berkesan untuk menghilangkann bau tidak menyenangkan tersebut.
“Rahsianya adalah dengan menggunakan daun kering dan sisa-sisa kayu. Setiap lapisan sisa makanan diselang dengan satu lapisan daun kering dan kayu dengan kertas supaya ia dapat membantu mengimbangkan proses penguraian di dalam kompos, menghilangkan bau dan memastikan kompos itu mendapat pengudaraan baik,” jelasnya, menambah teknik pengkomposan itu boleh dilakukan di rumah.
“Jika nak buat di rumah, mulakan dengan sisa buah-buahan dan sayur-sayuran. Elakkan daripada menggunakan sisa makanan berminyak, daging dan tulang haiwan,” tambahnya.
KERJASAMA DENGAN PENDUDUK SETEMPAT
Yap berkata dengan kerjasama Persatuan Penduduk Setapak Permai dan sukarelawan dari flat Projek Perumahan Rakyat berhampiran, kebun itu menerima 200 kilogram sisa makanan setiap hari daripada isi rumah, restoran dan Hospital Kuala Lumpur.
Memegang falsafah “biar alam jalankan peranannya”, Yap berkata dia percaya setiap makhluk ada fungsi masing-masing yang boleh dimanfaatkan oleh manusia.
“Contohnya, kita selalu anggap cacing itu makhluk perosak, tetapi sebenarnya ia merupakan mikrob yang banyak membantu menguraikan tanah.
“Ketika kami mula-mula memulakan projek ini, tanah di sini keras dan air bertakung. Selepas menambah kompos, tanah menjadi subur dan tanaman-tanaman pula membesar dengan sihat,” katanya, menambah selain menggaji pekerja, dia juga dibantu oleh penduduk setempat yang datang secara sukarela, dan sebagai “bayaran”, mereka diberikan sayur-sayuran dan buah-buahan hasil kebun.
Yap juga menggalakkan komuniti untuk tidak membersihkan kawasan yang penuh dengan semak samun, rumput ataupun daun kering kerana kesemua itu berfungsi sebagai penutup tanah, mengekalkan kelembapan tanah, melindungi mikrob daripada panas terik dan mencegah hakisan ketika hujan lebat.
“Daun yang gugur pula akan terurai menjadi bahan organik yang menyuburkan tanah.
“Di sini, kami bukan sahaja membekalkan hasil tanaman sayur-sayuran, buah-buahan segar serta baja kompos organik kepada penduduk setempat, tetapi juga sebagai tempat berkongsi ilmu berkebun secara lestari dan memanfaatkan alam sekeliling,” katanya.
Dia turut mengelakkan penggunaan bahan kimia, sebaliknya memilih racun perosak organik seperti cuka kayu yang menggalakkan kehadiran lebah dan proses pendebungaan.
“Selain itu, saya turut menjual baja kompos organik saya kepada masyarakat sekeliling dan kepada syarikat-syarikat korporat dengan harga berpatutan dari RM18 hinggalah ke RM300 secara pukal,” katanya.
pic-7
KITAR SEMULA
Misi Yap pada masa sekarang adalah memberi kesedaran kepada lebih ramai ahli masyarakat setempat untuk menukarkan sampah dan sisa-sisa makanan kembali kepada bahan ternilai seperti mewujudkan kebun bandar sendiri bagi menjamin keselamatan makanan.
Katanya menerusi inisiatifnya mewujudkan Urban Recycling Ecosystems (UREs) - pusat komuniti yang mengitar semula sisa kepada sesuatu yang bernilai - dia dapat berinteraksi secara lebih dekat dengan penduduk setempat dan berkongsi ilmu mewujudkan kebun sendiri di rumah secara organik.
“Pelbagai usaha telah dilakukan oleh kerajaan untuk menggalakkan orang ramai kitar semula namun ramai yang masih tidak melakukannya kerana kurangnya motivasi dan sangat renyah.
“Untuk menjayakan URE, kita perlukan lima elemen iaitu kemudahan, pasukan operasi pendidikan, perbincangan dengan pihak pengurusan (seperti pihak berkuasa kerajaan dan organisasi) serta pasaran.
“Jika sampah tidak ada penyelesaian, ia tetap sampah. Tetapi apabila digabungkan dengan URE, ia menjadi ‘trashSURE’ (treasure - khazanah bernilai),” kata Yap, menjelaskan konsep yang cuba diterapkannya.
HARAPAN BESAR
Kebanyakan orang menganggap industri pengurusan sisa pepejal dan sampah hanya melibatkan golongan berpendidikan rendah, namun Yap membuktikan bidang itu satu kerjaya mulia dan berpotensi bagi sesiapa sahaja.
“Sebagai seorang lepasan kejuruteraan mekatronik, saya tidak malu malah bangga menggelarkan diri sebagai ‘usahawan hijau’ kerana melihat sisa-sisa makanan dan sampah itu sebagai rezeki saya dan menukarkannya kepada sesuatu yang menyumbang kepada masyarakat.
“Malah, usaha saya telah terbukti dapat memanfaatkan lebih ramai komuniti menghasilkan makanan mereka sendiri menerusi sisa, sekali gus dapat menjimatkan perbelanjaan harian mereka,” katanya.
pic-8
Usaha gigih anak muda ini tidak sia-sia kerana dia kini sering dijemput sebagai penceramah TEDX di Jalan Petaling sejak tahun lepas bagi memberi kesedaran kepada anak-anak muda tentang perjalanannya membina kerjaya menerusi sisa makanan.
“Jangan takut untuk melakukan perubahan. Pada mulanya orang akan anggap apa yang kita lakukan sekarang adalah sesuatu yang amat menjijikkan, namun bila dibuktikan bahawa benda jijik itu pun boleh menjadi khazanah bernilai, maka pandangan mereka terhadap kita akan berubah.
“Tiada istilah jijik dalam kamus hidup saya. Sampah-sarap yang saya nampak di daean mata saya adalah ‘emas’ dan sumber rezeki,” katanya.
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial