WILAYAH - SABAH > BERITA

KOMUNITI INDIA WARNAI KEPELBAGAIAN BUDAYA, PERKUKUH KEHARMONIAN SABAH

21/11/2025 03:00 PM

 

Oleh Rohana Nasrah

KOTA KINABALU, 21 Nov (Bernama) --  Jumlah mereka mungkin kecil, namun komuniti India di Sabah membuktikan keteguhan dan keupayaan untuk berasimilasi secara harmoni dalam ekosistem masyarakat berbilang kaum, budaya dan agama yang menjadi teras identiti negeri itu.

Kehadiran komuniti India di Negeri Bawah Bayu bukan sahaja memperkukuh perpaduan, tetapi turut menyerikan kepelbagaian adat dan budaya Sabah yang dihuni lebih 30 etnik dan ratusan subetnik dengan majoriti terdiri daripada Kadazan, Dusun, Murut, Rungus dan Bajau.

Bagi komuniti India yang menetap di Sabah, negeri itu bukan sekadar tempat mencari rezeki, membina kerjaya dan berbakti, tetapi “sebuah rumah” yang menerima kehadiran mereka sepenuh hati sehingga boleh menyesuaikan diri, mengadaptasi budaya setempat dan menjalinkan persahabatan dengan mudah.

Pengerusi Malaysia Hindu Sangam Sabah Datuk Dr G. Mohan berkata ramai masyarakat India di situ telah berumah tangga dengan penduduk tempatan, sekali gus menyatukan dua tradisi, adat dan budaya dalam kehidupan anak mereka.

“Sabah sangat unik. Penduduknya mesra, peramah, mudah bergaul dan mempunyai toleransi amat tinggi. Saya melihat konsep Malaysia Truly Asia ada di Sabah. Negeri ini model terbaik kehamornian dan perpaduan antara kaum,” katanya kepada Bernama.

Mengimbau kenangan kali pertama menjejak kaki ke Sabah pada 1990, Dr Mohan dari Johor berkata kehadirannya disambut dengan begitu baik, jauh melebihi jangkaan beliau sebelum melapor diri sebagai doktor perubatan.

“Saya tidak sangka mendapat penempatan di Sabah. Sebelum itu, saya berkhidmat di Hospital Muar, Johor. Awalnya saya tiada keinginan untuk datang... berulang kali membuat rayuan tetapi ditolak kerana doktor amat diperlukan di sini.

“Saya fikir mungkin hanya enam bulan ke setahun atau kurang dari dua tahun sebelum dipindahkan semula ke Semenanjung. Sekarang, saya sendiri tidak sedar sudah hampir 30 tahun menetap di Sabah,” katanya.

Dr Mohan pernah berkhidmat di beberapa hospital di Sabah termasuk sebagai pengarah Hospital Ranau dan Hospital Tuaran sebelum bersara awal pada 2023.

Beliau berkata bertemu pasangan hidupnya Vina, jururawat berbangsa Dusun dari Ranau semasa penempatan pertama di Hospital Duchess of Kent, Sandakan sebelum berkahwin pada 2004 dan dikurniakan tiga anak. 

Selaku Presiden Persatuan Peranakan Masyarakat India Sabah Dr Mohan berharap dapat meningkatkan jumlah ahli daripada kira-kira 50 ketika ini kepada 500, bagi membentuk sebuah persatuan kukuh mewakili generasi muda hasil perkahwinan campur antara komuniti India dari Semenanjung dan penduduk tempatan.

Sementara itu, pesara guru Grace Subramaniam, 60, dari Perak yang menetap di Sabah selama 29 tahun mengakui negeri itu sudah menambat hatinya saat pertama beliau berpindah untuk mengajar di pedalaman Keningau.

“Mereka (penduduk tempatan) bawa makanan, kopi dan ubi rebus. Mereka sayang dan menjaga kita. Ponsikou (terima kasih) Sabahan. Saya sayang Sabahan,” katanya yang membesarkan dua anak masing-masing kini berusia 32 dan 35 tahun di negeri itu.

R. Shanmuga Nathan,61, dari Perak atau lebih mesra disapa Shan mengakui merancang untuk bertugas sementara di Sabah dan kembali ke Semenanjung selepas tiga tahun, namun akhirnya menetap di negeri itu selama lebih tiga dekad.

Bekas pensyarah kanan Institut Pendidikan Guru Kampus Gaya di sini, berkata penerimaan baik masyarakat setempat serta rasa selesa yang semakin mendalam dari tahun ke tahun mendorong beliau bersama-sama keluarga nekad untuk terus tinggal di Sabah.

“Tiga anak saya lahir di sini dan menganggap Sabah sebagai negeri mereka,” katanya yang turut menggemari hidangan tradisional seperti hinava dan kuih cincin.

Selepas bersara, Shan membuka sebuah restoran masakan India yang menerima pelanggan pelbagai bangsa termasuk dari Semenanjung, dengan mereka sering memberitahu kagum dengan kemesraan masyarakat Sabah.

Usahawan S. Thiagarajan, 58, turut berkongsi kisah beliau “terikat” di Sabah selepas pertemuan dengan isteri daripada etnik Kadazan di sebuah bank membawa mereka ke jenjang pelamin dan kini dikurniakan dua anak.

Beliau berkata kemampuan untuk beradaptasi merupakan kelebihan hidup di Sabah dan kini makanan tradisional Sabah juga sudah sebati dengan dirinya, yang seronok menjamah apa sahaja hidangan disajikan pada majlis tempatan terutama sayur-sayuran.

"Bahasa saya pun sudah bercampur sehingga boleh berkomunikasi dalam bahasa Kadazan (dalam perbualan harian) seperti isai ngaran nu (siapa namu mu) ngaran ku (nama ku) Rajan,” katanya. 

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan