WILAYAH - SABAH > BERITA

PRN SABAH: PH BAWA PENDEKATAN KEMPEN MATANG, TOLAK POLITIK HASUTAN - ROMANSA

21/11/2025 09:57 PM

LAHAD DATU, 21 Nov (Bernama) -- Pakatan Harapan (PH) membawa pendekatan kempen yang lebih matang, berasaskan fakta dan nilai-nilai murni pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, seterusnya menolak politik fitnah dan hasutan.

Calon PH bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Segama Romansa Lamin berkata pendekatan sedemikian, membolehkan rakyat rakyat menilai calon berdasarkan kemampuan, hujah, manifesto dan gagasan pembangunan.

Selain itu, beliau berkata kehadiran PH di kawasan itu selepas 13 tahun, membuka lembaran baharu untuk penduduk memiliki wakil rakyat yang dekat dengan masyarakat setempat, serta boleh bekerja secara langsung dengan kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.

“Calon dari kawasan ini perlu membawa suara rakyat dengan hati dan jiwa yang dekat di sini. Ini penting kerana wakil rakyat mesti dapat menyampaikan keperluan rakyat terus kepada presiden parti dan kepimpinan Persekutuan.

“Contohnya, isu perumahan atas air yang memerlukan penggantian papan dan struktur reput, Banyak perkara memerlukan perhatian segera,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis sembang santai bersama komuniti di sini, hari ini. 

Romansa berkata hubungan baik antara kerajaan negeri dan Persekutuan akan memastikan setiap peruntukan serta projek dilaksanakan dengan telus serta penuh tanggungjawab.

“Kerajaan boleh mengumumkan projek dan peruntukan, tetapi yang penting ialah pelaksanaannya. Ini hasrat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memastikan dana dibelanjakan dengan telus dan sampai kepada rakyat,” katanya.

Selain itu, Romansa menepis dakwaan yang mengatakan beliau bukan anak jati Segama.

“Saya lahir di Tawau, tetapi asal datuk moyang saya memang dari Segama. Saya sudah lebih 30 tahun berkhidmat di Lahad Datu, Segama amat dekat dengan saya dan mahu berkhidmat kepada rakyat di sini,” katanya.

DUN Segama yang mempunyai 29,840 pengundi mula dipertandingkan pada PRN lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 29 Nov ini sebagai hari pengundian, manakala 25 Nov sebagai hari mengundi awal.

Untuk berita terkini PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php 

 

N61: SEGAMA: SABAH: 29,840

1. Datuk Mohamaddin Ketapi (Bebas/)

2. Muhammad Abdul Karim (Warisan)

3. Alif Afiandy Ali (Bebas)

4. Ehtisham Ur Rahman Mhaulaha (PIS)

5. Norman Kasimin (Bebas)

6. Romansa Lamin (PH-PKR)

7. Yvonne Yong Yit Phung (SAPP)

(2020: Datuk Mohamaddin Ketapi: Warisan Plus-Warisan: Maj: 2,168)

(Kini: Bebas)

 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan