WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KEHADIRAN MALAYSIA DI G20 BUKTI DASAR LUAR NEGARA KEKAL BEBAS

22/11/2025 12:06 AM

Daripada M.Saraswathi

JOHANNESBURG, 21 Nov (Bernama) -- Kehadiran Malaysia di forum utama dunia seperti G20 menjadi bukti kukuh bahawa dasar luar negara kekal bebas, berdaulat dan tidak terikat kepada mana-mana kuasa besar, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

“Ada yang kata selepas menandatangani Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART), ‘tangan’ Malaysia terikat dan kita tidak lagi mampu membentuk dasar luar yang neutral.

“Umum mengetahui, hubungan Amerika Syarikat (AS) dan Afrika Selatan tidaklah begitu mesra tetapi kita tiada masalah mengundang Presiden Afrika Selatan ke Sidang Kemuncak ASEAN di Kuala Lumpur dan menerima undangan Afrika Selatan untuk menghadiri Sidang Kemuncak G20.

“Malaysia memilih untuk berinteraksi dengan semua negara berdasarkan kepentingan nasional kita,” katanya dalam laman media sosial di sini.

Tengku Zafrul berkata kementerian akan menggunakan platform G20 untuk menyuarakan pandangan negara membangun serta memastikan perdagangan global kekal adil dan inklusif.

“Alhamdulillah, selepas selesai lawatan rasmi yang padat di Ethiopia, kami ke Johannesburg, Afrika Selatan untuk menghadiri Sidang Kemuncak G20.

“Jemputan ke G20 membuktikan pengiktirafan terhadap peranan aktif Malaysia di persada antarabangsa dan kekuatan hubungan kerjasama Selatan-Selatan kita,” katanya yang turut bersama delegasi Malaysia ke sidang kemuncak itu yang bermula esok.

Delegasi Malaysia yang diketuai Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, turut diiringi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, pegawai kerajaan Malaysia dan delegasi perniagaan.

ART yang ditandatangani antara Malaysia dan AS pada 26 Oktober lepas pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan, menyaksikan komitmen Washington untuk mengekalkan kadar tarif 19 peratus terhadap barangan asal dari Malaysia dan mengenal pasti 1,711 produk Malaysia yang akan menikmati kadar tarif timbal balas sifar peratus.

Antara senarai itu termasuklah minyak sawit, getah, koko serta beberapa komponen farmaseutikal dan peralatan aeroangkasa.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan