WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KPT PERLU SENTIASA SOKONG USAHA PEMBAHARUAN DI UKM - TUANKU MUHRIZ

22/11/2025 03:48 PM

BANGI, 22 Nov (Bernama) -- Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bertitah agar Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sentiasa menyokong usaha pembaharuan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Baginda yang juga Canselor UKM bertitah ia termasuk mempercepatkan pelantikan pengurusan tertinggi, terutama ahli Lembaga Pengarah Universiti dan Timbalan-Timbalan Naib Canselor.

“Pelantikan pengurusan tertinggi universiti mestilah melibatkan calon yang layak dan bertanggungjawab. 

“Pemimpin yang terlibat dengan salah laku tidak layak mentadbir sesebuah universiti, lebih-lebih lagi UKM yang menjunjung falsafah Ilmu, Mutu dan Budi,” titah baginda pada Majlis Konvokesyen UKM ke-53 di sini hari ini.

Baginda turut bertitah UKM memainkan peranan penting sebagai peneraju perubahan melalui pendidikan berkualiti, penyelidikan berimpak tinggi dan khidmat masyarakat yang lestari, termasuk meluaskan jaringan ke peringkat antarabangsa menerusi kolaborasi akademik bersama The Royal College of Surgeons of Edinburgh dan Aberystwyth University.

“Beta juga berbangga kerana UKM mempunyai dua hospital pengajar iaitu Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) dan Hospital Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani, Hospital Pakar Kanak-Kanak yang telah beta rasmikan baru-baru ini. 

“Untuk meneruskan kecemerlangan yang dicapai, UKM perlu terus dipimpin oleh mereka yang berintegriti tinggi dan beramanah. Kejayaan yang dikecapi akan musnah sekiranya para pentadbir universiti mengambil kesempatan di atas kedudukan mereka untuk kepentingan peribadi,” titah baginda.

Tuanku Muhriz turut memandang serius salah laku dalam isu pengurusan perolehan HCTM melibatkan tiga tender besar bernilai RM58.45 juta. 

“Aduan ini kemudiannya disiasat dan disahkan benar oleh Jabatan Audit Negara. Beberapa syarikat yang tidak mendapat kelulusan jawatankuasa pemilih telah dilantik untuk melaksanakan projek-projek ini. 

“Jika tidak diambil tindakan sewajarnya, ia akan memberi implikasi negatif bukan sahaja dari segi kewangan, malah merendahkan mutu perkhidmatan, keselesaan dan rawatan pesakit serta menjejaskan proses latihan para pelajar perubatan di HCTM. Ia juga akan menggugat kualiti HCTM dan melemahkan kredibiliti UKM,” titah baginda.

Justeru, baginda bertitah bagi memperbetulkan keadaan, adalah penting untuk UKM menjalani proses perubahan dalam tatakelola serta pentadbiran dan menyeru semua pihak berwajib supaya lebih sensitif dan sentiasa mengambil tindakan yang cepat terhadap pihak yang terlibat dalam perbuatan salah laku.

Mengakhiri titah, baginda berpesan kepada semua graduan agar sentiasa memanfaatkan ilmu yang diperoleh untuk kebaikan keluarga dan masyarakat. 

“Beta menaruh keyakinan bahawa kamu akan terus menjaga maruah dan nama baik universiti. Jika boleh, kembalilah kepada UKM untuk menyumbang ilmu dan kepakaran. Jadilah seorang alumni UKM yang boleh diteladani serta sentiasa dihormati,” titah Tuanku Muhriz.

Pada majlis sama, Tuanku Muhriz memberikan perkenan untuk menubuhkan Kursi Diraja Canselor Tuanku Muhriz Integriti dan Tadbir Urus Baik yang disandang oleh Tun Tengku Maimun Tuan Mat, bekas Ketua Hakim Negara merangkap Professor of Practice di Fakulti Undang-undang UKM sebagai pemegang pertama Kursi berkenaan.

Kursi itu bertujuan memajukan penyelidikan dan dasar berkaitan tadbir urus baik, isu-isu berkaitan integriti, pentadbiran awam dan pembaharuan institusi.

Sebanyak 13,904 graduan menerima ijazah masing-masing pada majlis konvokesyen itu bermula hari ini sehingga 4 Dis ini dan bakal meraikan graduan terdiri daripada 571 Doktor Falsafah, 231 Sarjana Kepakaran, 2,796 Sarjana, 4,511 Sarjana Muda, 108 Diploma Pascasiswazah, 5,677 Diploma Lepasan  Ijazah dan 10 Sijil Pascasiswazah.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan