WILAYAH - SARAWAK > BERITA

IHP MALAYSIA NAIK 1.6 PERATUS PADA JANUARI DIANGGAP TERKAWAL - AHLI EKONOMI

19/02/2026 09:15 PM

Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid

KUALA LUMPUR, 19 Feb (Bernama) -- Indeks Harga Pengguna (IHP) Malaysia pada Januari 2026 yang meningkat 1.6 peratus dianggap sebagai terkawal berikutan komponen yang mencatatkan kenaikan ketara hanya menyumbang sebahagian kecil daripada indeks tersebut, kata ahli ekonomi.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata inflasi IHP teras, yang tidak termasuk kesan subsidi dan harga barangan kawalan naik pada kadar berterusan sebanyak 2.3 peratus untuk bulan kedua berturut-turut.

Namun demikian, beliau mengingatkan bahawa isu kos sara hidup tidak boleh dipandang remeh.

“Ia menunjukkan bahawa paras harga kekal tinggi yang boleh memberi impak tidak seimbang kepada rakyat Malaysia dalam pelbagai peringkat pendapatan.

“Individu berpendapatan tinggi mungkin tidak begitu merasai kesannya tetapi kumpulan berpendapatan sederhana dan rendah boleh menyebabkan kuasa beli mereka berkurangan,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Profesor Ekonomi dari Universiti Sunway Dr Yeah Kim Leng berkata IHP keseluruhan pada 1.6 peratus dan IHP teras pada 2.3 peratus tahun ke tahun pada Januari 2026 adalah sama dengan kadar pada bulan sebelumnya, menunjukkan bahawa inflasi bulanan kekal rendah pada awal tahun dan antara dua tempoh perayaan.

“Bagaimanapun, inflasi teras, yang tidak termasuk harga bahan api dan makanan yang tidak menentu, kekal melebihi purata lima tahun sebanyak 2.1 peratus.

“Peningkatan bulan ke bulan yang positif menunjukkan momentum harga meningkat,” katanya.

Terdahulu, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, IHP meningkat 1.6 peratus pada Januari 2026, dengan indeks naik kepada 135.7 daripada 133.6 dalam bulan yang sama pada tahun lepas.

Ia didorong oleh empat kumpulan, didahului oleh penjagaan diri, perlindungan sosial dan pelbagai barangan dan perkhidmatan yang meningkat 6.6 peratus berbanding 5.7 peratus pada Disember 2025.

Mengenai pengukuhan ringgit, Mohd Afzanizam berkata situasi itu dijangka memberi impak positif kepada ekonomi Malaysia tetapi kesannya terhadap kuasa beli isi rumah dalam persekitaran inflasi meningkat bergantung pada kepantasan perniagaan memindahkan manfaatnya kepada pengguna.

“Jika pasaran menjadi lebih kompetitif, perniagaan akan cenderung untuk menurunkan harga.

“Ia akan mengambil masa sebelum manfaat daripada pengukuhan ringgit dapat dinikmati oleh pengguna,” katanya.

Beliau berkata kuasa beli yang meningkat daripada ringgit yang mengukuh dapat dilihat dalam kalangan rakyat Malaysia yang melancong ke luar negara dan perniagaan yang mendapat bahan mentah dari luar negara.

“Impak positif daripada kenaikan mata wang adalah berbeza; sebahagiannya mungkin dapat merasainya dengan serta-merta manakala bagi yang lain, ia akan mengambil sedikit masa,” katanya. 

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan