WILAYAH - SARAWAK > BERITA

LAWATAN PM ANWAR PERKUKUH KERJASAMA HALAL MALAYSIA DAN AFRIKA SELATAN - MOHD NA'IM

22/11/2025 10:09 PM

KUALA LUMPUR, 22 Nov (Bernama) -- Lawatan kerja Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Afrika Selatan dari 20 hingga 23 Nov mampu memperkukuh kerjasama strategik Malaysia-Afrika Selatan, khususnya dalam pengurusan halal, pembangunan kapasiti dan inovasi industri.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata inisiatif itu bukan sahaja memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai peneraju halal global, malah menyokong agenda pembangunan ekosistem halal dunia secara mampan dan inklusif.

"Suka untuk saya kongsikan, hubungan antara Malaysia dan Afrika Selatan dalam bidang halal telah lama terjalin melalui pengiktirafan tiga badan pensijilan halal luar negara oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), iaitu National Independent Halaal Trust (NIHT) di Johannesburg, South African National Halaal Authority (SANHA) di Kwazulu Natal dan Muslim Judicial Council Halaal Trust (MJCHT) di Cape Town.

"Pengiktirafan ini merupakan bukti komitmen berterusan kerajaan dalam memperluas jaminan halal di peringkat global," katanya dalam kenyataan menerusi Facebook hari ini.

Beliau berkata JAKIM komited berkongsi kepakaran melalui pembangunan kapasiti, peningkatan kemahiran dan perkongsian ilmu demi menyokong kelestarian ekosistem halal dunia, selaras aspirasi Malaysia memperkukuh rangkaian halal antarabangsa.

Mohd Na’im berkata lawatan Anwar ke Afrika Selatan atas jemputan Presiden negara itu, Matamela Cyril Ramaphosa yang juga Presiden Kumpulan 20 (G20) 2025 turut merangkumi sesi libat urus bersama pimpinan Islam setempat bagi membincangkan kerjasama memperkasakan pembangunan ummah di peringkat global.

Perdana Menteri kini meneruskan rangka lawatan ke benua Afrika dengan Afrika Selatan sebagai destinasi kedua sempena Sidang Kemuncak G20.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan