GEORGE TOWN, 23 Nov (Bernama) -- Ketua Menteri Chow Kon Yeow mengetuai delegasi Pulau Pinang ke Wilayah Anhui, China bermula hari ini hingga 27 Nov bagi memperkukuh kerjasama, khususnya dalam bidang inovasi dan teknologi, perindustrian, perdagangan dan ekonomi serta hubungan kebudayaan.
Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang dalam kenyataan hari ini memaklumkan lawatan itu juga sebagai susulan kepada memorandum persefahaman (MoU) mengenai pengukuhan hubungan persahabatan dan kerjasama yang ditandatangani antara kedua-dua kerajaan pada April lepas.
“Sejak itu, hubungan antara Pulau Pinang dan Anhui terus diperkukuh, membina kepercayaan bersama yang kukuh serta meletakkan asas teguh bagi kerjasama komprehensif dan pragmatik pada tahun-tahun mendatang.
“Lawatan itu juga atas jemputan Kerajaan Rakyat Wilayah Anhui ke Hefei,” menurut kenyataan itu.
Sepanjang lawatan itu, Chow dijadualkan mengadakan kunjungan hormat ke atas Gabenor Wilayah Anhui Wang Qingxian dan mengadakan perbincangan dengan pemimpin-pemimpin daripada Kerajaan Wilayah Anhui dan Kerajaan Perbandaran Hefei mengenai perkara berkaitan pelaburan, inovasi teknologi dan bidang kepentingan bersama yang lain.
Ketua Menteri juga akan melawat beberapa perusahaan dan institusi penyelidikan saintifik di Hefei bagi meninjau perkembangan dalam sektor semikonduktor, teknologi kuantum, pembuatan termaju dan penyelidikan saintifik terkehadapan.
Menurut kenyataan itu, penglibatan berkenaan dijangka membantu mengenal pasti peluang kerjasama serta potensi sinergi untuk ekosistem perindustrian Pulau Pinang.
Chow memaklumkan lawatan kerja itu mempunyai kepentingan strategik kerana ia akan mempererat hubungan persahabatan Pulau Pinang-Anhui serta memperluas kerjasama dalam teknologi tinggi, tenaga hijau dan industri berorientasikan masa hadapan, iaitu bidang yang menjadi sektor penting bagi kesinambungan pertumbuhan dan daya saing Pulau Pinang.
Beliau turut diiringi Speaker Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Datuk Seri Law Choo Kiang, bersama pegawai kerajaan negeri, wakil agensi serta pemimpin utama industri.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial