TOKYO, 23 Nov (Bernama) -- Pasukan boling lelaki yang diletakkan sebagai prospek utama pingat emas Malaysia pada Deaflympics 2025 tersingkir seawal pusingan pertama selepas pasukan itu mendakwa masalah pengangkutan menyebabkan mereka tiba lewat di lokasi pertandingan.
Ketua Jurulatih Boling Pekak Kebangsaan Joe Tay yang tidak dapat menyembunyikan kekecewaan itu berkata insiden itu menyebabkan pemain Mohd Firdaus Mohamad, Syabil Azam Syamsul Azam, Ho Choon Seong dan Mohd Zaidi Awang kelihatan sedikit kelam-kabut dan tidak dapat melakukan aksi pemanas badan.
“Bas kami sepatutnya tiba pada 7.55 pagi, jadi kami berada di sana tepat pada masanya tetapi mereka memberitahu slot itu tidak wujud dan hanya bas pada 6.50 pagi yang tersedia dan kami sudah terlepas. Saya menunjukkan bukti dengan gambar dan semuanya tertunda sehingga pukul 8 lebih sebelum mereka akhirnya mengatur teksi untuk kami ke lokasi.
“Apabila kami tiba, semuanya kelam-kabut. Pemain berlari ke sana ke mari dan tiada masa untuk sesi pemanasan badan. Mereka terpaksa masuk dan bermain dengan segera,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Perjalanan dari Deaflympics C, titik pengambilan bas yang ditetapkan untuk atlet ke lokasi Higashiyamato Grand Bowl dianggarkan sejauh 37 kilometer yang biasanya mengambil masa sekitar satu jam 45 minit, sementara acara dijadualkan bermula pada 10 pagi.
Joe berkata delegasi Malaysia akan membuat aduan rasmi kepada penganjur berhubung insiden itu.
Beliau berharap agar atlet kekal tabah dan menumpukan semula fokus menjelang acara pasukan wanita esok dan acara pasukan campuran pada 25 Nov ini.
“Pasukan lelaki mempunyai peluang terbaik untuk menang tetapi kini kami tidak dapat berbuat apa-apa. Saya amat kecewa kerana sasaran saya adalah untuk mereka pergi jauh dalam acara ini,” katanya.
Berdasarkan format pertandingan, hanya lapan pasukan teratas layak daripada Pusingan 1 ke Pusingan 2 dengan Malaysia menamatkan pusingan di tempat kesembilan dengan mencatat jumlah keseluruhan 1,123 jatuhan pin, gagal melepasi had kelayakan.
Korea Selatan mendahului pusingan itu dengan 1,283 jatuhan pin, diikuti Jerman (1,234) dan Taiwan (1,180).
Persatuan Sukan Pekak Malaysia (MSDeaf) sebelum ini menetapkan sasaran tiga pingat emas pada edisi kali ini dengan memberi tumpuan kepada acara badminton beregu wanita dan badminton beregu campuran serta boling berpasukan lelaki.
Setakat ini, jumlah pingat Malaysia kekal satu emas (boling beregu lelaki), satu perak (boling beregu wanita) dan satu gangsa (badminton beregu campuran).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial