WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MISKIN TERSEMBUNYI: KISAH MEREKA, TANGGUNGJAWAB KITA TUNAIKAN ZAKAT BANTU CERAHKAN HARAPAN

24/11/2025 02:55 PM

Oleh Nazira Hasanah Nasaruddin dan Maizatul Jamny Muhammad

KUALA LUMPUR, 24 Nov (Bernama) -- Di sebalik pelbagai inisiatif kebajikan dan bantuan yang disediakan kerajaan, masih wujud sebahagian rakyat Malaysia di kawasan bandar dan luar bandar yang terus hidup dalam kemiskinan, namun memilih untuk tidak meminta-minta.

Rasa malu, stigma masyarakat selain tidak mengetahui saluran yang betul untuk mendapatkan bantuan membuatkan mereka yang tergolong dalam miskin tersembunyi berdiam diri walaupun bergelut dengan kekangan hidup, sekali gus menyebabkan mereka terus tercicir daripada sistem jaringan sosial negara.

Di bandar, golongan ini ada yang menahan lapar demi membayar sewa bilik dan rumah serta perbelanjaan persekolahan anak-anak manakala di kampung pula, ada warga emas yang hanya menjadikan nasi berlaukkan telur sebagai sajian harian, hanya kerana tidak tahu cara memohon bantuan.

Realiti hari ini juga menyaksikan dalam banyak keluarga miskin tersembunyi, hanya terdapat seorang pencari nafkah utama yang menanggung seluruh isi rumah dengan pendapatan yang tidak seberapa.

Malah tidak dapat dinafikan ada dalam kalangan mereka yang terpaksa melakukan tiga hingga empat pekerjaan sehari, siang dan malam selain terpaksa memadamkan cita-cita semata-mata untuk memastikan ada hidangan tersaji di atas meja untuk keluarga.

Kelompok miskin tersembunyi ini juga menjalani hidup ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang dengan hanya berbekalkan semangat untuk kelangsungan hidup. Cukup hari ini, belum tentu cukup esok, namun mereka tetap berdiam diri, memendam segala kesempitan hidup agar tidak membebankan sesiapa.

Miskin tersembunyi merujuk kepada kumpulan rentan tertentu yang tercicir dan terselindung daripada perhatian serta radar bantuan.

Baru-baru ini juga terdapat kisah sedih tular di media sosial mengenai nasib menimpa dua remaja yatim piatu di Kelantan dan Pulau Pinang yang bersendirian berjuang hidup selepas kematian ibu bapa dan kehidupan mereka yang sebelum ini suram serta menjadi antara individu yang tercicir dalam sistem jaringan sosial, kini mula menampakkan sinarnya.

Pelbagai bantuan yang disediakan kerajaan termasuk di bawah kelolaan Jabatan Kebajikan Masyarakat serta menerusi pusat zakat di setiap negeri, yang menguruskan zakat yang dibayar individu dan syarikat untuk diagihkan kepada mereka yang layak.

Kewajipan berzakat bukan hanya tanggungjawab institusi semata-mata, tetapi kewajipan individu Muslim yang berkemampuan dan sistem zakat tidak dapat bergerak jika umat Islam sendiri tidak menjadi sumber kekuatannya.

Zakat rukun Islam yang ketiga. Perintah mengeluarkan zakat disebut dalam al-Quran pada 23 tempat termasuk ayat 43 Surah al-Baqarah yang bermaksud: “Dan dirikanlah kamu akan sembahyang dan keluarkanlah zakat.”

Menyedari situasi ini, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Pusat Pungutan Zakat - MAIWP (PPZ-MAIWP) terus menggerakkan pelbagai inisiatif bagi memastikan kebajikan asnaf terpelihara dan dana zakat sentiasa mencukupi untuk menampung keperluan masyarakat.

MAIWP mengekalkan pendekatan menyeluruh dalam membantu asnaf, bukan sekadar memenuhi keperluan asas tetapi turut menumpukan kepada pembangunan masa depan mereka. Antara bantuan yang dilaksanakan termasuk bantuan kewangan berkala, bantuan sewa rumah, pendidikan, perubatan dan bantuan kecemasan. 

Selain itu, MAIWP memberi penekanan kepada program pemberdayaan ekonomi melalui latihan kemahiran, program TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional), bantuan modal perniagaan dan bimbingan keusahawanan. Pendekatan ini bertujuan membantu asnaf menjana pendapatan sendiri, sekali gus keluar daripada kitaran kemiskinan.

MAIWP juga mempunyai aplikasi Mobile Jejak Asnaf (MoJA) dengan orang awam boleh melaporkan kewujudan asnaf di kawasan mereka. Inisiatif ini bukan sahaja mempercepatkan proses pengesanan asnaf, malah menjadikan urusan kebajikan sebagai satu tanggungjawab bersama antara masyarakat dan pihak berautoriti.

Di pihak lain, PPZ-MAIWP memainkan peranan penting memastikan dana zakat sentiasa kukuh untuk menampung pelbagai program bantuan MAIWP.

Saban tahun, PPZ-MAIWP memperhebat usaha mendekati pembayar melalui pelbagai kempen, program kesedaran dan aktiviti turun padang seperti kaunter bergerak, program komuniti dan sebagainya. Turut dipergiat ialah kolaborasi bersama rakan strategik, syarikat korporat dan institusi kewangan bagi memperluas dakwah dan kesedaran menunaikan zakat.

Penggunaan platform digital seperti aplikasi MyZakat, pembayaran tanpa tunai dan skim Potongan Gaji pula membuka ruang kepada masyarakat untuk menunaikan zakat dengan lebih cepat dan mudah. Kaedah ini bukan sahaja menjimatkan masa, tetapi turut memudahkan penyelarasan dengan Potongan Cukai Bulanan (PCB).

Pembayar zakat di PPZ-MAIWP juga secara automatik layak menerima perlindungan Skim Kafalah Muzakki sehingga RM3,000 apabila syarat asas pembayaran dipenuhi.

Walaupun memainkan peranan berbeza, MAIWP dan PPZ-MAIWP berkongsi misi yang sama dalam memastikan kebajikan umat Islam terpelihara dan tidak ada asnaf yang tercicir daripada menerima bantuan yang sewajarnya.

Semua kemudahan ini membuktikan bahawa menunaikan zakat tidak lagi memerlukan usaha yang besar, tetapi hanya kesedaran dan keinginan untuk menyempurnakan perintah Allah.

Kemiskinan mungkin tidak akan hilang sepenuhnya, tetapi ia boleh diurus dan dikurangkan apabila masyarakat mempunyai sistem sosial yang adil serta berasaskan nilai kasih sayang.

Kesedaran baharu perlu dibina bahawa membantu bukan sekadar menghulurkan wang, tetapi memahami bahawa rezeki yang diperoleh bukan milik mutlak setiap individu.

Tanggungjawab menunaikan zakat bukan hanya terletak pada bahu individu, tetapi turut dipikul oleh semua lapisan masyarakat termasuk syarikat korporat dan barisan kepimpinan negara.

Komitmen bersama ini penting bagi memastikan dana zakat sentiasa mencukupi untuk membantu asnaf yang kian meningkat, terutama di kawasan bandar.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan