KUALA SELANGOR, 24 Nov (Bernama) -- Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah didalangi seorang warga tempatan yang aktif di Lembah Klang dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM77.46 juta menerusi empat serbuan di sekitar Selangor, minggu lepas.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Hussein Omar Khan berkata lelaki itu ditahan dalam serbuan di Shah Alam bersama-sama dadah jenis methamphetamine seberat 5 kilogram (kg), heroin (300 gram) dan heroin base (1 kg) serta wang tunai lebih RM1 juta.
Penahanan suspek membawa kepada tangkapan enam lelaki tempatan dan dua warga asing menerusi serbuan ke atas rumah dan gudang besi buruk di sekitar Bestari Jaya di sini dipercayai dijadikan tempat memproses dadah.
“Serbuan di rumah menemukan dadah disyaki Erimin 5 seberat 18 gram, methamphetamine (12 gram) manakala 97 tong mengandungi dadah methamphetamine (2,375 kg) serta pelbagai mesin dan peralatan memproses dadah ditemukan di gudang,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Selangor di sini hari ini.
Hussein berkata semua suspek berusia antara 23 hingga 44 tahun, dengan anggota sindiket dipercayai bertindak sebagai penjaga stor dan runner.
Beliau berkata polis turut merampas pelbagai barangan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 melibatkan nilai keseluruhan RM1.26 juta.
Suspek utama juga disifatkan bersikap seperti “Robin Hood” kerana mempamerkan perwatakan baik untuk melindungi kegiatan jenayahnya.
“Suspek utama menggunakan beberapa perniagaan termasuk besi buruk untuk mengaburi operasi. Kita juga percaya suspek mendapatkan kepercayaan penduduk sekitar dengan memberikan pekerjaan serta bantuan kewangan,” katanya.
Hussein berkata sindiket itu dipercayai aktif mengedar dadah sejak Januari tahun lepas dan serbuan dilakukan susulan risikan hampir lima bulan.
Beliau berkata ketua sindiket mempunyai tujuh rekod kesalahan lampau manakala enam lagi suspek tempatan memiliki keseluruhan 19 rekod melibatkan kes jenayah dan dadah.
Beliau berkata seorang suspek direman tujuh hari manakala suspek lain 10 hari masing-masing bermula 20 Nov bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial