WILAYAH - SARAWAK > BERITA

UK, ASEAN LANCAR TONGGAK DASAR IKLIM BAHARU UNTUK PERKUKUH KEUPAYAAN INSTITUSI

25/11/2025 11:02 PM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 25 Nov (Bernama) -- Perwakilan United Kingdom (UK) ke ASEAN melancarkan inisiatif dasar iklim baharu bersama ASEAN di Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (COP30) bagi mengukuhkan keupayaan institusi dan mempercepat peralihan Asia Tenggara ke arah ekonomi rendah karbon.

Tonggak Dasar Iklim dan Pembangunan Keupayaan Institusi, yang merupakan sebahagian daripada Dana Peralihan Hijau ASEAN-UK (GTF), akan menyediakan bantuan teknikal untuk membantu rantau itu memperkukuh tadbir urus iklim, meningkatkan komitmen di bawah Perjanjian Paris serta bersedia untuk pelaksanaan mekanisme pasaran karbon.

Dilancarkan pada acara sampingan rasmi COP30 baru-baru ini di Belem, Brazil, inisiatif itu dirasmikan oleh Timbalan Pengarah Kewangan Iklim Antarabangsa di Jabatan Keselamatan Tenaga dan Sifar Bersih UK Julia Ellis serta Ketua Bahagian Alam Sekitar Sekretariat ASEAN, Dr Vong Sok.

“Menerusi GTF ASEAN-UK, kami meningkatkan keupayaan institusi, membuka akses kepada pembiayaan iklim, serta memajukan dasar berasaskan bukti yang membolehkan negara anggota melaksanakan komitmen iklim paling bercita-cita tinggi mereka,” kata Ellis dalam satu kenyataan pada Selasa.

Vong berkata inisiatif itu selaras dengan Visi Iklim ASEAN 2050 dan Pelan Tindakan Strategik Perubahan Iklim ASEAN yang bakal diperkenalkan, sambil menekankan kepentingan usaha mitigasi, penyesuaian dan ketelusan yang lebih kukuh.

Antara fokus utama dalam majlis pelancaran itu ialah perbincangan mendalam mengenai satu daripada aliran kerja di bawah tonggak berkenaan, iaitu Peralihan Strategik ASEAN untuk Ekonomi Berdaya Tahan, Inklusif dan Nyahkarbon (STRIDE). Ia diterajui oleh Perspectives Climate Research, penyedia alat berasaskan sains untuk memperkukuh Sumbangan Ditetapkan Negara masing-masing.

Melengkapi usaha itu ialah dua aliran kerja tambahan, iaitu Memajukan Pembelajaran dan Keupayaan ASEAN dalam Mitigasi (ALAM) yang diterajui Manila Observatory, serta menyokong kesiapsiagaan bagi pelaporan rangka kerja ketelusan dipertingkat yang diselaraskan di bawah Perjanjian Paris dalam kalangan negara ASEAN (SPHERE) yang diterajui Ernst & Young.

Acara pelancaran itu diakhiri dengan sesi panel yang menampilkan pakar-pakar daripada pelbagai sektor yang membincangkan bagaimana kerjasama serantau dan keupayaan institusi dapat memacu aspirasi iklim rantau itu, menurut Perwakilan UK ke ASEAN.

ASEAN, sebuah rantau dengan lebih 680 juta penduduk yang menyumbang hampir lima peratus daripada pelepasan global, menyaksikan peningkatan jejak karbonnya berikutan permintaan tenaga yang meningkat serta perubahan guna tanah. Rantau itu juga berdepan ancaman iklim yang semakin meningkat seperti ribut lebih kuat, banjir, kemarau dan risiko terhadap keselamatan makanan.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan