WILAYAH - UTARA > BERITA

LIPUTAN 5G DI KAWASAN BERPENDUDUK PERAK CAPAI 80.9 PERATUS SETAKAT SEPTEMBER - EXCO

26/11/2025 11:27 AM

IPOH, 26 Nov (Bernama) – Liputan rangkaian 5G di kawasan berpenduduk seluruh Perak telah mencapai 80.9 peratus setakat September lalu, sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) diberitahu hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO negeri Mohd Azlan Helmi, berkata pembangunan rangkaian 5G dijalankan secara berperingkat melalui peluasan tapak pemancar di kawasan strategik dan berimpak tinggi.

“Pembangunan rangkaian 5G juga diperkukuh melalui perancangan rangkaian 5G kedua oleh U Mobile Sdn. Bhd., yang kini sedang dilaksanakan secara fasa demi fasa. Langkah ini dijangka meningkatkan kapasiti rangkaian, memberi lebih banyak pilihan kepada pengguna, serta memperkukuh daya saing ekosistem digital negeri Perak,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Persidangan DUN di sini.

Beliau menjawab soalan Berhanudin Ahmad (PN-Manong) yang ingin mengetahui usaha kerajaan memperluaskan liputan 5G di kawasan luar bandar, terutamanya di pendalaman, sebagai sokongan kepada ekonomi digital rakyat serta perancangan kerajaan membentuk masyarakat digital di Perak.

Mohd Azlan menambah, terdapat beberapa kekangan teknikal dan logistik yang perlu ditangani secara berperingkat, termasuk muka bumi berbukit, kedudukan geografi tanpa Line of Sight (LOS) yang jelas, serta ketiadaan laluan gentian optik (backhaul) di sesetengah kawasan

“Faktor seperti kepadatan penduduk yang rendah, ketiadaan infrastruktur asas dan bekalan elektrik yang tidak stabil turut memberi implikasi kepada tempoh pelaksanaan projek.

“Walau bagaimanapun, peluasan rangkaian 5G akan terus dilaksanakan dengan mengambil kira kesediaan tapak, keperluan setempat serta keutamaan kawasan berimpak tinggi seperti zon perindustrian, institusi pendidikan, kawasan tumpuan awam dan pusat pertumbuhan ekonomi luar bandar,” jelasnya.

Berkenaan usaha membentuk masyarakat digital di Perak, Mohd Azlan berkata antara melalui Unit Hub Inovasi dan Multimedia (HiM), unit tersebut bertanggungjawab untuk membangunkan tenaga kerja mahir meliputi program ICT untuk usahawan, pelajar dan lepasan sekolah.

“Ia juga termasuk latihan ICT berbentuk teknikal dan praktikal, latihan digital korporat untuk golongan profesional serta program kesedaran ICT.

“Fungsi utama HiM adalah menyelaraskan usaha pembangunan ekosistem startup negeri; sebagai hab penyelidikan, inovasi dan pembangunan kreatif bagi pembelajaran berterusan; menyediakan fasiliti dan sokongan latihan serta menjadi pusat komuniti usahawan digital Perak,” katanya.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan