WILAYAH - SABAH > BERITA

PENDEKATAN POLITIK PERBALAHAN ANTARA KAUM TIDAK MANFAATKAN RAKYAT - PM ANWAR

27/11/2025 12:29 AM

TAWAU, 26 Nov (Bernama) -- Pendekatan politik berasaskan sentimen perkauman serta pertelagahan antara kaum dan etnik tidak akan membawa sebarang manfaat kepada rakyat dan negara, tegas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sehubungan dengan itu, Perdana Menteri berkata beliau komited untuk terus mengangkat integriti, tadbir urus baik dan kepentingan rakyat sebagai keutamaan.

Anwar berkata beliau tidak memilih gaya politik yang menimbulkan permusuhan antara kelompok tertentu, sebaliknya menekankan keperluan membina perpaduan demi masa depan negara.

“Saya tidak kempen seperti orang lain yang Bugis marah Melayu, yang Melayu marah Cina, yang Sabah marah Semenanjung, saya tak mahu itu semua,” kata beliau berucap pada Fiesta Demi Merotai Harapan Urang Sabah di Dewan Terbuka Merotai di sini malam ini.

Anwar berkata mana-mana individu yang bercita-cita menjadi wakil rakyat atau memimpin negeri dan negara perlu memastikan amanah rakyat dipelihara sepenuhnya kerana mereka akan sentiasa dinilai.

“Siapa mahu jadi wakil rakyat, siapa mahu perintah Sabah, siapa mahu perintah Malaysia mesti jaga amanah. Angkat martabat rakyat,” kata Anwar.

Beliau turut mengkritik segelintir pihak yang dilihat sanggup menabur janji semata-mata untuk merebut kuasa.

Anwar turut menolak tanggapan bahawa Sabah tidak mempunyai kekayaan untuk dibangunkan, sebaliknya menegaskan negeri itu mempunyai potensi besar sekiranya diurus dengan cekap dan telus.

Selain itu, Perdana Menteri berkata keamanan di Sabah yang terdiri daripada pelbagai etnik perlu dikekalkan kerana keharmonian antara pelbagai kaum dan etnik adalah asas kepada kestabilan serta kemajuan negara.

“Negeri ini mesti aman, mesti bekerjasama,” kata Perdana Menteri.

Untuk berita-berita terkini tentang PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan