Daripada Nur Syuhada Yusof
BUSAN, 26 Nov (Bernama) -- Busan Tourism Organisation (BTO) menyasarkan ketibaan 3.5 juta pelancong asing ke bandar pelabuhan itu pada 2026 melalui pelaksanaan pelbagai kempen promosi dan penawaran produk pelancongan bagi memperkukuh kedudukannya sebagai destinasi pelacongan global.
Presiden BTO, Lee Jeong-Sil berkata kira-kira tiga juta pelancong asing telah melawat Busan setakat tahun ini berbanding 2.93 juta ketibaan yang direkodkan pada 2024.
Beliau berkata pasaran utama ketibaan pelancong asing ke Busan termasuk China, Asia Tenggara, Jepun, Taiwan, Amerika Utara dan Eropah.
"Keberkesanan strategi promosi, pembangunan produk pelancongan, dan pelaburan yang dilaksanakan BTO akan terus memperkukuh kedudukan Busan sebagai destinasi pelancongan global,”katanya kepada Bernama.
Lee berkata China, Jepun dan Taiwan kekal sebagai tiga pasaran utama yang disasarkan tahun depan berikutan pertumbuhan konsisten jumlah pelawat dari negara berkenaan selain kewujudan penerbangan langsung ke Busan.
Sebelum itu, beliau menghadiri 5th Busan International Travel Mart, yang diadakan dari 23 hingga 26 Nov di ARTE Museum, Busan.
Pameran pelancongan itu menghimpunkan kira-kira 170 wakil agensi pelancongan antarabangsa dari China, Hong Kong, Indonesia, Jepun, Malaysia, Filipina, Singapura, Taiwan, Thailand dan Vietnam, serta 100 wakil industri pelancongan domestik termasuk hotel dan pengendali tarikan pelancongan.
Dalam perkembangan lain, Lee berkata BTO juga komited dalam pembangunan kemudahan korporat bagi sektor Mesyuarat, Insentif, Persidangan dan Pameran (MICE) untuk mengukuhkan kedudukan Busan sebagai destinasi korporat global.
Katanya, tumpuan terhadap pelancongan mesra Muslim, pengalaman budaya serta pembangunan kawasan pelancongan di pusat bandar dan pinggir bandar turut diberi keutamaan bagi memastikan pertumbuhan seimbang.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial