WILAYAH - TIMUR > BERITA

PENDUDUK SEKITAR SUNGAI MANAL BERSENGKANG MATA PANTAU PARAS AIR

26/11/2025 11:07 PM

TANAH MERAH, 26 Nov (Bernama) -- Penduduk di sekitar Sungai Manal, di sini bersengkang mata memantau paras air sungai yang semakin menghampiri rumah mereka, rutin yang dilakukan setiap kali musim tengkujuh tiba.

Seorang penduduk Kampung Manal 3, Arman Daud, 51, berkata hujan lebat sejak pukul 10 malam semalam membuatkan dia tidak mampu tidur lena kerana perlu memerhatikan keadaan sungai yang hanya kira-kira 100 meter dari rumahnya.

"Hujan tidak berhenti, jadi saya bangun setiap jam untuk melihat paras air. Setiap tahun memang kami akan berpindah ke PPS (pusat pemindahan sementara), sebab itu saya risau jika air naik mendadak," katanya kepada Bernama di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Kelewek, di sini hari ini.

Arman berkata air mula memasuki rumahnya kira-kira pukul 3 pagi sehingga mencapai paras lutut menyebabkan dia, isteri dan anak perempuan berusia empat tahun berpindah ke PPS itu pada 7 pagi.

"Saya meletakkan kereta di tempat tinggi lebih awal… barangan rumah juga saya simpan di loteng khas yang kami bina sebab setiap tahun rumah saya memang dinaiki air," katanya.

Seorang lagi penduduk, Nur Suzilawati Muhammad Zali, 31, yang turut berjaga malam berkata air naik begitu cepat sehingga kereta dan motosikal keluarganya tidak sempat diselamatkan.

"Suami saya sakit batu karang dan susah hendak bergerak. Air naik cepat sangat, jarak rumah kami pula hanya 50 meter dari tebing Sungai Manal. Ketika kami ingin keluar, paras air mencecah dada orang dewasa dan terpaksa meminta bantuan bomba untuk selamatkan kami," katanya.

Penduduk Kampung Manal 1, Wan Haziq Wan Husin, 39, pula berkata banjir di mukim itu semakin buruk sejak beberapa tahun kebelakangan ini kerana Sungai Manal semakin sempit dan cetek, justeru pihak berwajib perlu mencari penyelesaian segera.

"Kami antara penduduk paling awal berpindah di daerah ini jika hujan lebat berterusan. Rumah saya dinaiki air setinggi lutut malam semalam dan jalan utama ke kampung pun sudah ditenggelami air," katanya dan menambah penduduk terpaksa menghadapi banjir dua hingga tiga kali setiap kali Monsun Timur Laut.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan