WILAYAH - SARAWAK > BERITA

CALON BN CHIN FOKUS TIGA TERAS PACU PEMBANGUNAN KARAMUNTING

27/11/2025 09:40 PM

SANDAKAN, 27 Nov (Bernama) -- Pemerkasaan usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) antara tiga teras akan ditumpukan calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Karamunting Datuk Chin Kim Hiung bagi memacu pembangunan mampan di kawasan itu.

Chin dalam kenyataan hari ini berkata dua lagi ialah pembangunan sektor pelancongan di Pasir Putih dan program pembangunan belia yang komprehensif.

Selain itu, beliau turut berazam mengatasi isu tiga serangkai iaitu masalah bekalan air, elektrik dan jalan raya untuk keselesaan penduduk kawasan berkenaan.

“Sekiranya diberi mandat kelak, saya akan membentuk pasukan khas bagi menangani tiga isu kritikal iaitu bekalan air, elektrik dan jalan raya.

“Kita perlu menyelesaikan masalah asas ini terlebih dahulu sebelum melaksanakan pelan pembangunan jangka panjang untuk Karamunting," katanya.

Chin yakin tiga teras pembangunan dan masalah tiga serangkai itu mampu diatasi kerana BN mempunyai rekod pencapaian yang terbukti dalam melaksanakan pembangunan mampan melalui kepimpinan mantap dan pendekatan dasar yang konsisten.

“Justeru itu, saya ingin mengingatkan pengundi bahawa undi mereka bukan sekadar memilih seorang wakil rakyat, tetapi menentukan hala tuju pembangunan Karamunting untuk generasi akan datang,” menurut kenyataan itu.

Hari pengundian PRN Sabah Ke-17 yang mempertandingkan 73 kerusi DUN berlangsung Sabtu ini.

Untuk berita-berita terkini tentang PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php.

 

N54: KARAMUNTING: SABAH: 19,615

 

   1. Wong Tshun Khee                        (Warisan)

   2. Datuk George Hiew Vun Zin         (PH-PKR)

   3. Datuk Chin Kim Hiung                  (BN-MCA)

   4. Datuk Chew Kok Woh                   (KDM)

   5. Soo Ming Soon                              (PIS)

 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan