WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KPE BERNAMA TERIMA ANUGERAH WOMAN LEADERSHIP EXCELLENCE

28/11/2025 12:48 AM

KUALA LUMPUR, 27 Nov (Bernama) -- Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin menerima pengiktirafan Anugerah Woman Leadership Excellence sempena Anugerah Kecemerlangan Perniagaan Bumiputera (BBEA) 2025 yang berlangsung di sini, malam ini.

Anugerah itu adalah kategori istimewa diberikan hanya kepada tokoh dan syarikat yang telah memberikan sumbangan luar biasa, bukan sahaja dalam pencapaian perniagaan, tetapi juga memberi impak besar kepada masyarakat, industri serta negara.

Anugerah disampaikan oleh usahawan terkenal Tan Sri Syed Mohd Yusof Datuk Syed Nasir dengan diiringi Pengerusi BBEA Datuk Dr Muhammad Iqbal Mohamad.

Majlis itu turut dihadiri Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Sementara itu, Nur-ul Afida yang ditemui selepas majlis berkenaan mendedikasikan pengiktirafan itu kepada seluruh warga Bernama kerana kejayaan berkenaan adalah hasil daripada sokongan dan kerjasama petugas agensi itu.

“Saya berharap pengiktirafan ini turut menjadi inspirasi kepada kepimpinan di Bernama untuk meneruskan kecemerlangan dalam memberi liputan berita terbaik,” katanya.

Beliau yang telah menceburi bidang kewartawanan selama empat dekad turut menyifatkan anugerah diterima sebagai lonjakan semangat kepada dirinya untuk terus menabur bakti dalam kerjaya.

“Saya harap dapat memberi perkhidmatan lebih baik kepada Bernama dan pada masa sama boleh membantu organisasi kita untuk terus berkembang dan kekal relevan dalam industri media negara,” katanya.

Nur-ul Afida yang dilantik sebagai KPE Bernama pada 2024 berpengalaman luas dalam bidang kewartawanan dan pernah memegang beberapa jawatan penting di Bernama antaranya sebagai Ketua Pengarang agensi itu.

Beliau yang merupakan anak kepada wartawan veteran Allahyarham AR Kamaludin, memulakan kerjaya sebagai wartawan di akhbar Harian Nasional sebelum menyertai Bernama pada Januari 1985 sebagai wartawan kadet.

Nur-ul Afida juga pernah bertugas di pelbagai bahagian serta unit termasuk Meja Berita Am, Meja Penyuntingan Bahasa Melayu, Unit Foto serta Meja Rencana dan Penulisan Strategik selain menjadi tenaga pengajar bagi Bernama School of Journalism sejak 2009.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan