KUALA LUMPUR, 28 Nov (Bernama) -- Ribut Tropika Senyar telah melemah dan diturun taraf kepada sistem cuaca bertekanan rendah, namun masih berpotensi menyebabkan hujan lebat berterusan, angin kencang dan laut bergelora di beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia hingga esok.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata Senyar kini berada di tengah Semenanjung selepas membuat pendaratan (landfall) sekitar tengah malam tadi di kawasan pantai antara sempadan Selangor dan Negeri Sembilan.
Beliau berkata Ribut Tropika diramal terus bergerak ke arah timur menuju perairan Laut China Selatan, yang boleh menghasilkan hujan lebat berterusan, angin kencang dan laut bergelora di beberapa kawasan khususnya di Pahang dan Terengganu.
“Walaupun sistem cuaca tersebut semakin melemah, aktiviti pembentukan awan hujan masih aktif. MetMalaysia akan terus memantau keadaan ini dan mengemas kini maklumat serta amaran cuaca sekiranya terdapat perubahan signifikan,” katanya menerusi kenyataan pagi ini.
Beliau turut menasihati orang ramai agar sentiasa berwaspada dan mengikuti maklumat, nasihat, ramalan dan amaran cuaca yang dikeluarkan MetMalaysia melalui laman web www.met.gov.my, aplikasi myCuaca, platform media sosial rasmi serta talian hotline 1-300-22-1638.
Semalam, Mohd Hisham berkata ribut tropika itu dikesan memasuki perairan Selat Melaka sejak 3.30 petang dan dijangka membawa hujan lebat berterusan, angin kencang dan laut bergelora di Selangor, Perak dan sebahagian Pahang.
Malaysia pernah dilanda ribut tropika dua kali, iaitu Ribut Tropika Greg di barat Sabah pada 26 Dis 1996 dan Ribut Tropika Vamei di selatan Semenanjung pada 26 Dis 2001, namun Senyar mendapat perhatian penyelidik seluruh dunia kerana kali pertama berlaku di Selat Melaka.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial