WILAYAH - SARAWAK > BERITA

RIBUT TROPIKA SENYAR: KERAJAAN AKTIFKAN OPERASI DI SEMUA NEGERI, LEBIH 2,000 ANGGOTA DIGERAKKAN

28/11/2025 01:57 PM

PUTRAJAYA, 28 Nov (Bernama) -- Kerajaan telah mengaktifkan sepenuhnya Pusat Kawalan Operasi Negeri di 14 negeri serta 198 Pusat Kawalan Operasi Daerah, susulan perkembangan Ribut Tropika Senyar yang mendarat di kawasan pantai antara Selangor dan Negeri Sembilan, pada 12.30 tengah malam tadi.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata walaupun ribut itu telah diturunkan taraf kepada sistem bertekanan rendah, penumpuan angin masih berpotensi membawa hujan berterusan di banyak kawasan di Semenanjung Malaysia dalam tempoh 24 jam akan datang.

Ahmad Zahid berkata sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP), beliau telah menerima taklimat menyeluruh daripada Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) mengenai impak cuaca terhadap rakyat serta infrastruktur kritikal.

Beliau berkata Pusat Kawalan Operasi Bencana di peringkat negeri dan daerah turut dibuka bagi memastikan koordinasi operasi, pemindahan mangsa dan penyampaian maklumat dapat dilakukan tanpa kelewatan.

“Langkah ini membolehkan setiap perkembangan dan keperluan di lapangan ditangani dalam masa sebenar oleh agensi pengurusan bencana,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Zahid berkata APM telah menggerakkan lebih 2,000 anggota untuk rondaan dan pemantauan di kawasan berisiko tinggi mengalami banjir, ribut serta ombak kuat di pesisir pantai.

Aset-aset penting termasuk bot penyelamat, ambulans, kenderaan pacuan empat roda, generator, pam air mudah alih dan dron pemantauan turut dikerah bagi memastikan operasi menyelamat, pemindahan dan bantuan kecemasan dapat dilaksanakan segera.

“Kerajaan turut menekankan kebajikan mangsa dan petugas bencana dengan menyediakan 30,300 pek makanan retort, sebanyak 88,701 unit C-Tent serta 31,480 kot makanan mangsa sebagai stok kecemasan awal di lokasi telah dikenal pasti,” katanya.

Ahmad Zahid turut mengingatkan penduduk di kawasan terjejas dan kawasan berisiko supaya sentiasa mengikuti amaran rasmi MetMalaysia, NADMA, APM dan pihak berkuasa serta mematuhi arahan pemindahan jika diarahkan.

“Orang ramai dinasihatkan supaya  mengelak aktiviti laut dan kawasan pesisir susulan angin kencang serta ombak tinggi, di samping memastikan beg kecemasan sentiasa tersedia dan dokumen penting disimpan di tempat selamat.

“Saya juga menegaskan agar masyarakat tidak menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mencetuskan kekeliruan atau panik,” katanya.

Beliau berkata kerajaan akan terus memantau rapi situasi tersebut dan memastikan semua agensi berada dalam tahap kesiapsiagaan sepenuhnya.

“Saya sendiri akan mengikuti perkembangan secara langsung dan memastikan segala bantuan serta tindakan yang diperlukan dapat dilaksanakan dengan pantas demi keselamatan dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan