WILAYAH - SARAWAK > BERITA

CAJ 20 SEN KURANG BERKESAN, PERAK TELITI LARANG SEPENUHNYA BEG PLASTIK SEKALI GUNA

28/11/2025 03:37 PM

IPOH, 28 Nov (Bernama) -- Perak sedang meneliti untuk melarang sepenuhnya pemberian beg plastik sekali guna mulai Januari tahun depan susulan kaedah kutipan caj pencemaran plastik yang dilaksanakan sebelum ini dilihat kurang berkesan.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri Teh Kok Lim berkata bagaimanapun cadangan itu masih dalam tindakan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) bagi mendapatkan pertimbangan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Kutipan caj pencemaran plastik yang dilaporkan semua PBT di Perak pada 2023 berjumlah RM204,238.80 dan ia meningkat kepada RM597,348.80 tahun lepas.

“Bermula Jan hingga Sept 2025 pula, sebanyak RM361,510.60 caj pencemaran dikutip dan ini menjadikan jumlah keseluruhan caj penggunaan beg plastik di PBT Perak sebanyak RM1,163,098.20 daripada 598 buah premis yang mengenakan caj itu kepada pelanggan,” katanya pada sesi soal jawab lisan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Goh See Hua (PH-Pasir Pinji) yang bertanyakan tentang usaha kerajaan negeri untuk mengurangkan penggunaan beg plastik sekali guna dan apakah sasaran kerajaan negeri untuk isu penggunaannya serta cabaran yang dihadapi.

Teh berkata jumlah kutipan caj penggunaan plastik yang tinggi menunjukkan kurangnya kesedaran masyarakat tentang kesan negatif plastik sekali guna kepada alam sekitar dan kesihatan.

Beliau berkata caj pencemaran sebanyak 20 sen setiap beg plastik didapati kurang berkesan kerana tidak memberi implikasi kewangan ketara bagi sebahagian pengguna.

“Caj ini secara prinsipnya bertujuan mengurangkan dan menghindari penggunaan beg plastik terutamanya beg plastik sekali guna serta (menggalakkan pengguna) membawa beg guna semula dalam urusan harian,” katanya.

Sementara itu, Teh berkata Kerajaan Negeri berdepan beberapa cabaran utama dalam pelaksanaan usaha pengurangan dan larangan penggunaan beg plastik sekali guna antaranya tahap kesedaran segelintir masyarakat yang masih rendah.

Beliau berkata selain itu, terdapat kekurangan alternatif yang selamat dan praktikal di pasar basah atau pasar malam.

Persidangan bersambung Isnin.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan