PUTRAJAYA, 28 Nov (Bernama) -- Kerajaan memutuskan untuk tidak mengaplikasikan kaedah jualan secara en bloc dalam mana-mana projek pembaharuan semula bandar (PSB) bagi mengelakkan pemindahan paksa dan gentrifikasi terhadap penduduk asal.
Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) PLANMalaysia Saidin Lateh berkata pendekatan berkenaan yang diguna pakai di beberapa negara lain seperti Singapura, Hong Kong dan sebahagian Australia, membenarkan pemilik menjual secara kolektif dan berpindah ke lokasi baharu.
Beliau berkata model itu bagaimanapun bercanggah dengan prinsip Rang Undang-Undang (RUU) PSB yang menjamin pemilik kembali ke unit gantian tanpa bayaran.
“Kita tidak guna pakai en bloc sale. Di negara lain, bila capai 80 atau 90 peratus, mereka boleh buka tender, pemilik lama ambil pampasan dan keluar.
“Tetapi Malaysia mengambil pendekatan berbeza. Kita akan dapatkan 80 peratus persetujuan dahulu untuk kick start (perundingan). Kita jamin pemilik boleh kembali duduk di kawasan sama selepas pembinaan siap,” katanya selepas sesi dialog Jom Ngopi KPKT bersama pengamal media di sini hari ini.
Mengulas mekanisme persetujuan pemilik, Saidin menegaskan prinsip PSB kekal berasaskan rundingan dan tidak ada pembangunan boleh dimulakan tanpa persetujuan majoriti.
Selain itu, beliau turut menekankan sebarang projek PSB di kawasan berpotensi akan melalui proses pengisytiharan kawasan oleh kerajaan negeri, penilaian teknikal, rundingan lanjut serta penyediaan model pembangunan yang mengutamakan pemilik asal.
“Kalau bincang dan mereka setuju, projek jalan. Kalau tak setuju, tak jadi. Itu asasnya. 80 peratus itu hanya untuk memulakan proses teknikal dan penyediaan pelan. Tetapi usaha tetap diteruskan untuk mendapatkan persetujuan lebih tinggi,” katanya.
Walaupun 100 peratus persetujuan dianggap ideal, ia hampir mustahil dicapai kerana pelbagai kekangan termasuk pemilik yang tidak dapat dikesan, isu harta pusaka, pemilik yang telah berpindah negara dan kaveat hak milik.
“Kita perlu realistik. Kalau 95 orang setuju tetapi lima orang tidak setuju, tidak adil untuk menolak suara majoriti yang sudah bertahun-tahun hidup dalam keadaan rumah yang serba kekurangan,” katanya.
Saidin berkata di bawah RUU PSB, pemilik dijamin menerima unit baharu lebih besar dan lebih berkualiti tanpa apa-apa bayaran, termasuk kos pindah, sewa sementara dan fi penyelenggaraan yang diserap pemaju pada peringkat awal.
“Dalam model kita, pemilik kembali duduk di unit gantian, bukannya dihalau keluar. Ini berbeza dengan en bloc. Hanya jika pemilik memilih untuk berpindah ke tempat lain barulah pampasan tunai dibayar mengikut nilai semasa,” katanya.
Sebagai contoh, jika nilai kediaman baharu mencecah RM500,000, pemilik akan menikmati nilai itu sepenuhnya, manakala pemilik yang enggan menyertai projek dan melalui proses pengambilan tanah akan menerima pampasan berdasarkan nilai pasaran semasa.
Saidin berkata kerajaan mengambil pendirian tegas ‘no go’ terhadap risiko gentrifikasi, iaitu peminggiran penduduk asal akibat pembangunan semula.
Malah, beliau turut menjelaskan perubahan demografi tidak akan berlaku kerana RUU PSB menetapkan kawalan komposisi penduduk mengikut nisbah sedia ada.
“Kalau kawasan itu asalnya 60 peratus Melayu dan 40 peratus Cina, nisbah itu kekal walaupun bilangan unit baharu bertambah,” katanya.
Bagi meyakinkan penduduk khususnya komuniti Melayu terhadap keupayaan pemaju, beliau berkata syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), syarikat kerajaan negeri, UDA Holdings Berhad (UDA) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan diberi keutamaan.
Untuk rekod, RUU PSB akan dibentangkan semula bulan hadapan di Parlimen.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial