WILAYAH - SARAWAK > BERITA

HAQIMI AZIM MAHU CIPTA KENANGAN MANIS PADA PENAMPILAN TERAKHIR SUKAN SEA

28/11/2025 09:14 PM

SHAH ALAM, 28 Nov (Bernama) -- Penyerang skuad bawah 23 tahun (B-23) negara Muhammad Haqimi Azim Rosli tidak mahu sejarah pahit tersingkir di peringkat kumpulan dua tahun lepas berulang apabila Malaysia beraksi pada Sukan SEA 2025 di Thailand bulan depan.

Pemain berusia 22 tahun itu berkata pengalaman lalu menjadi pembakar semangat untuknya menutup tirai penampilan terakhir pada temasya dwitahunan itu dengan keputusan yang lebih baik.

“Ini Sukan SEA yang terakhir untuk saya dan kalau boleh nak cipta satu memori yang bagus bersama pasukan.

“Kalau boleh nak tolong pasukan ke separuh akhir dahulu, lepas itu baru ke final,” katanya ketika ditemui pada hari keempat sesi latihan hari ini.

Untuk rekod, pada edisi di Kemboja sebelum ini, Harimau Muda gagal mara ke separuh akhir selepas menamatkan saingan peringkat kumpulan di kedudukan ketiga.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai pertukaran jadual perlawanan dan lokasi dari Songkhla ke Bangkok, pemain Kuala Lumpur City itu berkata situasi berkenaan tidak menjejaskan fokus serta persiapan pasukan.

Beliau berkata skuad B-23 sentiasa bersedia menyesuaikan diri dengan apa jua ketetapan penganjur.

“Bagi saya, pertukaran lokasi dan jadual perlawanan tak bagi apa-apa kesan kepada pasukan sebab sebelum ini kami juga pernah bermain di Bangkok.

“Tak kisah bermain di mana-mana lokasi sekalipun, kami akan buat sehabis baik dan bertarung sehingga ke akhir,” katanya.

Skuad B-23 kendalian Nafuzi Zain yang diundi dalam Kumpulan B akan memulakan saingan pada 6 Dis menentang Laos sebelum berdepan Vietnam pada 11 Dis di Stadium Rajamangala, Bangkok.

Mengikut format kejohanan, hanya juara kumpulan dan satu pasukan kedua terbaik layak ke separuh akhir.

Kali terakhir Malaysia memenangi pingat emas acara bola sepak Sukan SEA ialah pada 2011 di Jakarta, Indonesia.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan