WILAYAH - SARAWAK > BERITA

POLIS HONG KONG LAKUKAN SIASATAN MENYELURUH KEBAKARAN DI KAWASAN PERUMAHAN

28/11/2025 10:28 PM

HONG KONG, 28 Nov (Bernama-Xinhua) -- Polis Hong Kong akan mengumpulkan setiap bahan bukti dalam siasatan menyeluruh mengenai kebakaran di Wang Fuk Court, Tai Po, yang dijangka mengambil masa tiga hingga empat minggu, kata Setiausaha Keselamatan Hong Kong Chris Tang Ping-keung, pada sidang media Jumaat, lapor Xinhua.

"Dipercayai kebakaran bermula pada jaring perimeter tingkat bawah Bangunan Wang Cheong, sebelum membakar papan busa penebat dan merebak dengan cepat ke bangunan lain. Ini menyebabkan kaca pecah, api marak dengan mendadak dan merebak ke dalam bangunan, mengakibatkan bencana dengan kebakaran serentak berskala besar. Suhu tinggi turut membakar perancah buluh dan serpihan buluh yang terbakar jatuh lalu membakar jaring perancah lain," kata Tang.

Menurut ketua keselamatan itu, operasi memadam kebakaran, menyelamat dan mencari mangsa  selesai10.18 pagi Jumaat.

Kebakaran itu meragut 128 nyawa, dengan kira-kira 200 orang masih belum diketahui statusnya, kata Tang dan beliau tidak menolak kemungkinan lebih banyak mayat akan ditemukan apabila polis memasuki lokasi untuk siasatan lanjut.

Sebanyak 391 jentera bomba, 185 ambulans dan 2,311 anggota bomba serta perubatan dikerahkan. Seramai 12 anggota bomba cedera dan Ho Wai-ho dari Balai Bomba Sha Tin terkorban ketika menjalankan tugas, kata Andy Yeung Yan-kin, Pengarah Perkhidmatan Bomba kerajaan HKSAR.

-- BERNAMA-XINHUA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan