WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KKM SASAR PENINGKATAN LEPASAN KEJURURAWATAN UNIVERSITI AWAM, IPTS

01/12/2025 03:31 PM

KUALA LUMPUR, 1 Dis (Bernama) -- Kementerian Kesihatan (KKM) menyasarkan peningkatan bilangan lepasan program kejururawatan daripada Universiti Awam (UA) dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS), selaras dengan penamatan moratorium bagi program Diploma Kejururawatan yang dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sejak 2010, berkuat kuasa mulai 1 Ogos 2024.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni, berkata sebanyak 15 IPTS telah mula menawarkan program baharu diploma kejururawatan selaras dengan penamatan moratorium tersebut.

Beliau berkata, bagi memperkukuh kesiapsiagaan sumber manusia di fasiliti kesihatan, KKM telah melaksanakan pengambilan 3,290 graduan perubatan untuk menjalani latihan siswazah menerusi pelantikan ke jawatan Pegawai Perubatan Gred UD9 tahun ini.

Lukanisman berkata KKM juga telah meningkatkan pengambilan pelatih Institut Latihan KKM (ILKKM) di peringkat Diploma Kejururawatan kepada 3,343 pelatih pada tahun ini berbanding hanya 935 pelatih pada 2023.

“Secara keseluruhannya sehingga September 2025, seramai 6,059 pelatih Diploma Kejururawatan meliputi ambilan tahun 2023 hingga 2025 sedang mengikuti pengajian di ILKKM, " katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

“Pelatih ini akan mula berkhidmat di KKM secara berfasa antara tahun 2026 hingga 2028 setelah menamatkan pengajian dan berdaftar dengan Lembaga Jururawat Malaysia,” katanya.

Beliau menjawab soalan Senator Abdul Nasir Idris yang ingin tahu langkah strategik kerajaan dalam menangani isu kekurangan doktor dan jururawat akibat peningkatan kadar peletakan jawatan serta kesannya terhadap perkhidmatan di hospital daerah dan klinik luar bandar.

Sebagai langkah segera, Lukanisman berkata KKM telah menawarkan pelantikan tetap kepada 4,518 pegawai perubatan kontrak dan 3,254 jururawat tahun ini. Tahun depan, KKM menyasarkan menawarkan pelantikan tetap kepada 4,500 pegawai perubatan kontrak dan 935 graduan kejururawatan ILKKM.

Beliau turut memaklumkan kadar peletakan jawatan pegawai perubatan dan jururawat KKM meningkat, dengan analisis data 2022 hingga 2024 menunjukkan purata kadar peletakan jawatan berbanding pengisian tahunan sekitar 0.84 peratus bagi pegawai perubatan dan 0.66 peratus bagi jururawat.

Bagi menangani isu berkenaan, kerajaan menawarkan pelbagai insentif termasuk Bayaran Insentif Pakar Pra-Warta, kenaikan gaji 15 peratus di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA), serta kenaikan Elaun Tugas Atas Panggilan sekitar 40 peratus.

Selain itu, KKM turut meneruskan pemberian insentif khusus antaranya Bayaran Insentif Mengikut Lokasi dan Tahap Kesusahan (BIMLTK) antara RM500 hingga RM1,500 sebulan, Bayaran Insentif Pedalaman antara RM135 hingga RM165 sebulan, Elaun Balik Kampung (bagi penerima BIMLTK) atau Tambang Ziarah Wilayah bagi pegawai bertukar wilayah untuk menarik minat petugas berkhidmat di kawasan luar bandar dan pedalaman.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan