BUKIT MERTAJAM, 1 Dis (Bernama) -- Sebanyak 85 unit papan pintar bernilai RM748,000 disumbangkan Etiqa Takaful Berhad, menerusi skim wakalah Zakat Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (Zakat MAINPP) untuk diagihkan kepada 73 institusi pendidikan di Pulau Pinang.
Timbalan Ketua Menteri I Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid berkata daripada jumlah itu sebanyak RM607,200 disalurkan kepada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang melibatkan 60 sekolah kebangsaan (SK), sekolah menengah kebangsaan (SMK) dan sekolah agama bantuan kerajaan (SABK) terpilih.
Beliau berkata RM140,800 lagi disalurkan kepada 13 sekolah Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) di bawah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP).
“Kemudahan wakalah zakat diberikan kepada pembayar zakat yang layak, merupakan antara kelebihan bagi mewujudkan keberkesanan terhadap agihan zakat lebih berimpak kepada penerima, justeru kerjasama strategik melalui sumbangan papan pintar dapat menyokong semangat inovasi berasaskan digital di sekolah terpilih.
“Ketersediaan fasiliti digital ini juga secara tidak langsung memberi peluang dan ruang kepada pelajar bagi meningkatkan lagi kesedaran serta pemupukan budaya inovasi dan kreativiti yang lebih berkesan pada masa hadapan,” katanya pada Majlis Serahan Sumbangan Smartboard Wakalah Zakat Etiqa Takaful di sini hari ini yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Etiqa Family Takaful Zafri Ab Halim.
Mohamad yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) berkata pemberian peranti itu untuk memastikan pelajar dapat menikmati proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara digital seterusnya menyokong aspirasi Kementerian Pendidikan (KPM).
Sementara itu, beliau memaklumkan kerajaan negeri melalui MAINPP sentiasa komited memperkukuh akses pendidikan digital melalui pelbagai inisiatif sebelum ini antaranya menerusi penajaan 8,740 unit tablet kepada 263 sekolah berjumlah RM6.51 juta.
Selain itu, katanya Program Bantuan Cermin Mata bernilai RM500,000 yang memanfaatkan 2,500 murid serta bantuan buku latihan dan koleksi soalan percubaan SPM bernilai RM382,231 turut dilaksanakan.
“Kesemua ini adalah hasil wakalah zakat Etiqa Takaful dengan kerjasama Yayasan Sahabat Bina Negara (YSBN) yang membuktikan peranan instrumen zakat bukan hanya tertumpu kepada agihan bantuan kebajikan, tetapi juga merangkumi pembangunan kapasiti pendidikan dan pembinaan sosioekonomi ummah yang berkesan pada masa depan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial