WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MAHKAMAH DENGAR SAMAN FITNAH AHLI PERNIAGAAN TERHADAP CAPRICE FEBRUARI 2027

01/12/2025 09:59 PM

KUALA LUMPUR, 1 Dis (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 2 dan 3 Feb 2027 untuk perbicaraan kes saman fitnah difailkan ahli perniagaan Datuk Seri R. Jeyenderan terhadap penyanyi rap yang juga pempengaruh media sosial, Caprice.

Hakim Roslan Mat Nor turut menetapkan 7 April depan untuk pengurusan kes seterusnya.

Peguam V.Muniandy, yang mewakili plaintif ketika dihubungi mengesahkan tarikh berkenaan dan memaklumkan peguam bagi pihak Caprice selaku defendan, tidak hadir pada prosiding hari ini.

Pada 15 Okt lepas, mahkamah sama telah memberikan injunksi inter-parte memihak kepada plaintif dan turut memerintahkan Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli, membayar RM8,000 sebagai kos kepada Jeyenderan dalam tempoh dua minggu.

Pada 5 Ogos lepas, Mahkamah Tinggi membenarkan injunksi ad-interim yang dimohon Jeyenderan terhadap Caprice dan memerintahkan defendan agar segera memadam semua hantaran berunsur fitnah terhadap plaintif yang dimuat naik menerusi laman Instagram defendan pada Julai.

Jeyenderan yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif sebuah syarikat perkapalan, telah memfailkan saman itu pada 21 Julai lepas dengan mendakwa Caprice pada 10 Julai telah memuat naik beberapa hantaran di Intagram termasuk gambar dan video dirinya, yang didakwa mengaitkan beliau dengan aktiviti jenayah, gangsterisme serta ugutan bersenjata tanpa sebarang bukti sahih. 

Berdasarkan pernyataan tuntutan, beliau mendakwa hantaran berunsur fitnah itu dibuat bagi menimbulkan syak wasangka, kebencian awam dan tekanan sosial terhadap dirinya selain menyatakan Caprice tidak pernah menghubungi beliau atau wakilnya untuk mendapatkan pengesahan atau penjelasan sebelum menerbitkan dakwaan yang serius itu.

Jeyenderan mendakwa tindakan Caprice jelas menunjukkan bahawa defendan tidak mempunyai niat untuk menyampaikan maklumat yang adil dan benar sebaliknya bertujuan mencemarkan nama baik dan reputasi beliau dan menyatakan bahawa Caprice memiliki pengaruh yang besar di Instagram dengan jumlah pengikut lebih 1.5 juta orang.

Akibat penerbitan fitnah itu, Jeyenderan mendakwa reputasinya sebagai pakar perkapalan dan maritim terjejas di peringkat global serta mengalami kerugian khas berjumlah RM1 juta selepas kehilangan beberapa kontrak sebagai penceramah utama di Dubai, Turkiye dan India yang ditawarkan oleh sebuah syarikat berpangkalan di Dubai.

Sehubungan dengan itu, plaintif menuntut ganti rugi sebanyak RM3 juta bagi kerosakan reputasi, ganti rugi khas, am dan teladan, kos serta relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah. 

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan