KUALA LUMPUR, 3 Dis (Bernama) -- Kementerian Kesihatan (KKM) menegaskan bahawa inisiatif Rakan KKM bukanlah bentuk penswastaan, sebaliknya merupakan model baharu untuk mengekalkan pakar perubatan dalam perkhidmatan awam, menyediakan imbuhan setimpal serta memperkukuh sistem kesihatan negara.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata inisiatif itu diwujudkan bagi menangani cabaran kritikal masa kini untuk mengekalkan pakar, pegawai perubatan dan jururawat daripada berhijrah ke sektor swasta atau luar negara.
"Rakan KKM merupakan platform baharu yang bukan sahaja bertujuan mengekalkan petugas kesihatan termasuk pakar, pegawai perubatan dan jururawat, tetapi memberi ruang dan peluang kepada mereka menonjolkan keupayaan klinikal dengan imbuhan setimpal tanpa perlu berhijrah atau meninggalkan perkhidmatan.
"Melalui model ini, petugas kesihatan akan terus menunaikan sepenuhnya tanggungjawab dan komitmen mereka kepada pesakit awam. Perkhidmatan di bawah Rakan KKM hanya dijalankan mengikut temu janji dan menggunakan slot khusus untuk prosedur elektif. Tiada waktu rawatan awam dikurangkan," katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Senator Datuk Koh Nai Kwong yang ingin tahu skop pelaksanaan inisiatif Rakan KKM, termasuk senarai hospital terlibat serta mekanisme audit penggunaan dana.
Dzulkefly berkata program itu dilaksanakan oleh Rakan KKM Sdn Bhd (RKSB), sebuah entiti milik Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc), manakala kawal selia dilakukan sepenuhnya oleh KKM.
“Fasa pertama dijalankan dengan peruntukan awal sebanyak RM25 juta dan bermula di Hospital Cyberjaya melibatkan perkhidmatan Ortopedik serta Perubatan Dalaman," katanya.
Beliau memaklumkan proses pelesenan di bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586) serta pemuktamadan Perjanjian Operasi dan Penyewaan Fasiliti sedang dijalankan, manakala Hospital Cyberjaya bakal melesenkan 20 katil di Aras 9, empat katil rawatan harian, satu bilik pembedahan serta dua klinik pakar.
"Tarikh permulaan operasi akan dimuktamadkan selepas kelulusan lesen dan perjanjian berkaitan selesai diselaraskan," katanya.
Dzulkefly turut memaklumkan bahawa KKM akan menubuhkan Akaun Amanah Rakan KKM di bawah Akta Tatacara Kewangan 1957 untuk mengurus segala terimaan, sumbangan dan caruman serta dana tersebut akan digunakan semula bagi menaik taraf kemudahan dan meningkatkan perkhidmatan kesihatan awam.
Beliau berkata audit dalaman, tatacara akaun amanah serta pemantauan Jabatan Audit Negara akan memastikan ketelusan dan akauntabiliti pengurusan kewangan inisiatif berkenaan.
“Anggaran pendapatan tahunan akan diperincikan setelah RKSB memuktamadkan struktur caj, kadar bayaran serta pengambilan doktor dan kakitangan sokongan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial