WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PEMBINAAN FIZIKAL SEKSYEN MIRI PROJEK LTB BERMULA SUKU PERTAMA 2026

03/12/2025 03:02 PM

KUALA LUMPUR, 3 Dis (Bernama) -- Pembinaan fizikal bagi Seksyen Miri, Projek Lebuhraya Trans Borneo (LTB), dijangka bermula pada suku pertama tahun hadapan, persidangan Dewan Negara dimaklumkan hari ini. 

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata jajaran sepanjang 4.951 kilometer (km) yang sebelum ini dikenali sebagai Pakej Kerja 12 Miri di bawah Projek Lebuhraya Pan Borneo Fasa 2 (LPB2), pada masa ini dalam fasa prapembinaan. 

“Projek LPB2 kini dikenali sebagai Projek LTB dan Projek Northern Coastal Highway (NCH). Projek LTB ialah projek kerajaan Persekutuan dan sedang melalui proses tender perolehan.

"Pembinaan fizikal bagi Seksyen Miri Lebuhraya Trans Borneo dijangka bermula pada suku pertama 2026,” katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Negara, di sini hari ini. 

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Datuk Ahmad Ibrahim yang ingin tahu peratusan kemajuan pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo Fasa 2 di Sarawak serta langkah-langkah bagi memastikan tiada kelewatan akibat isu kontraktor dan peruntukan tambahan.

Nanta turut menjelaskan bahawa Pakej Kerja 13 (Limbang) dan Pakej Kerja 14 (Lawas) ialah jajaran baharu yang menjadi sebahagian daripada projek NCH yang dilaksanakan oleh Pihak Berkuasa Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) di bawah seliaan Kerajaan Negeri Sarawak.

Dalam pada itu, beliau berkata Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sarawak yang merangkumi jajaran sepanjang 786 km telah mencapai 99.98 peratus kemajuan keseluruhan setakat Oktober lepas, dengan 10 daripada 11 pakej kerja siap sepenuhnya dan telah dibuka secara berperingkat untuk kegunaan rakyat.

“Keseluruhan Pakej Kerja WPC 11 tidak dapat disiapkan pada 2025 seperti jadual asal kerana terdapat keperluan kritikal untuk menukar paip air sedia ada milik Sarawak Water Sdn Bhd sebelum kerja menaik taraf jalan sepanjang 4.2 km itu dapat dilaksanakan.

“Penukaran paip ini perlu diselesaikan terlebih dahulu bagi mengelakkan gangguan bekalan air ke bandar Miri serta mengelakkan risiko kerosakan jalan pada masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak bersama-sama kontraktor dan pihak berkepentingan sedang dalam proses rundingan semula harga dan kerja bagi pengalihan paip dan naik taraf jalan dilaksanakan secara berfasa bermula pada suku pertama 2026, dan dijangka dapat disiapkan pada suku pertama 2029.

Nanta berkata sebaik sahaja Pakej Kerja WPC 11 disiapkan, langkah itu menandakan penyiapan keseluruhan projek LPB Sarawak, yang merupakan nadi penghubung infrastruktur penting bagi negeri berkenaan.

KKR katanya, sentiasa mengadakan pemantauan secara berkala agar pelaksanaan projek mengikut skop kerja dan spesifikasi yang ditetapkan serta tiada kelewatan akibat isu kontraktor dan juga peruntukan tambahan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan