WILAYAH - SARAWAK > BERITA

ONSA TIDAK SASAR PENGGUNA, FOKUS KAWAL PENIPUAN - MCMC

03/12/2025 04:42 PM

KUALA LUMPUR, 3 Dis (Bernama) -- Akta Keselamatan Dalam Talian (OnSA) tidak menyasarkan pengguna atau perbualan peribadi, sebaliknya menumpukan kepada kandungan berbahaya seperti penipuan, eksploitasi dan penyamaran dengan meletakkan tanggungjawab pengawalan secara tegas kepada platform digital.

Timbalan Pengarah Urusan (Pembangunan) Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Eneng Faridah Iskandar berkata akta itu digubal bagi memastikan ruang digital lebih selamat berikutan penipuan dalam talian yang semakin sofistikated, termasuk penyalahgunaan deepfake dan kecerdasan buatan (AI). 

"Ia bukanlah menyasarkan kepada perbualan peribadi ataupun pandangan individu. Tanggungjawab mengawal selia diberikan kepada platform berdasarkan kemudaratan yang ditetapkan. 

"Fokus akta ini ialah tindakan atau tingkah laku berbahaya bukannya kebebasan bersuara. Matlamatnya memastikan persekitaran dalam talian lebih selamat terutamanya bagi kanak-kanak dan golongan di bawah jagaan kita, dapat berinteraksi dengan yakin," katanya dalam program Ruang Bicara bertajuk "OnSA Perangi Penipuan" terbitan Bernama TV.

Eneng Faridah berkata peningkatan kes penipuan sejak beberapa tahun kebelakangan ini menuntut pengawalan platform digital secara lebih tegas, memandangkan penjenayah kini menggunakan iklan palsu dan penyalahgunaan identiti tokoh terkenal untuk menipu mangsa.

Menurutnya, platform digital berada pada posisi terbaik untuk mengesan aktiviti sedemikian kerana mempunyai keupayaan teknologi serta kawalan terhadap kandungan yang muncul di ruang pengguna mereka.

"Benteng terakhir ialah platform kerana penipuan selalunya bermula melalui iklan, mesej atau interaksi di media sosial. Mereka perlu lebih proaktif dan tidak hanya menunggu laporan berulang daripada pengguna," katanya.

Eneng Faridah berkata OnSA turut menetapkan keperluan kepada platform untuk menyediakan proses pelaporan mudah, garis panduan keselamatan jelas serta alat perlindungan yang boleh membantu pengguna mengurus risiko dalam talian.

Dalam konteks itu, beliau berkata platform juga perlu lebih tegas mengenal pasti akaun milik pengguna bawah umur dan menapis kandungan yang boleh memudaratkan mereka selaras dengan keperluan perlindungan kanak-kanak di bawah akta tersebut.

Beliau turut menegaskan bahawa walaupun teknologi seperti AI boleh memudahkan penipuan, ia juga boleh dimanfaatkan untuk mengesan pola penipuan, menapis kandungan berbahaya dan menyokong usaha memerangi jenayah dalam talian.

Pelaksanaan OnSA disokong pelbagai agensi termasuk Bank Negara Malaysia dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang bekerjasama dengan MCMC bagi memastikan ekosistem digital negara lebih kukuh dalam menangani ancaman penipuan.

OnSA yang diwartakan pada 22 Mei lepas,  dijangka berkuat kuasa 1 Jan tahun depan, menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan