WILAYAH - SARAWAK > BERITA

AI, WEB TERTUTUP SUKARKAN PENGUATKUASAAN TERHADAP EKSPLOITASI KANAK-KANAK - MCCA

03/12/2025 07:27 PM

KUALA LUMPUR, 3 Nov (Bernama) -- Kemunculan teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI), penggunaan laras algoritma serta web tertutup semakin menyukarkan usaha untuk mengesan dan mengekang eksploitasi kanak-kanak menerusi Internet.

Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA) Siraj Jalil berkata pemangsa kini beralih kepada ruang komunikasi tertutup seperti Telegram dan Discord Area menyebabkan jejak digital mereka semakin sukar dikesan pihak berkuasa.

“(Kanak-kanak) bawah 16 tahun ini emosi tidak stabil, masih dalam proses mencari identiti. Apabila ada pemangsa yang mengantun atau grooming dengan memahami belaian jiwa mereka, maka memudahkan kanak-kanak ini terjerat kerana pemangsa ini pandai berperanan sebagai pendengar yang baik,” katanya. 

Beliau berkata penyalahgunaan teknologi seperti AI turut merumitkan proses tapisan kandungan oleh pencipta platform, ditambah pula dengan penggunaan laras algoritma serta komunikasi tersembunyi di Telegram atau platform seperti Discord yang sukar dikesan.

“Forum dalam dark web (web tertutup) lebih mencabar kerana bukan sahaja penguat kuasa negara kita, malah peringkat antarabangsa juga berdepan kesukaran mengesan jejak digital pelaku,” katanya pada program Malaysia Petang Ini terbitan Bernama TV dengan topik “MCMC Perkasa Keselamatan Digital Kanak-kanak” hari ini.

Siraj berkata pendidikan digital perlu dilaksanakan secara formal dan menyeluruh di semua peringkat bagi memastikan kanak-kanak, ibu bapa dan komuniti memahami serta mampu menangani risiko keselamatan siber secara efektif.

Beliau berkata pendidikan digital tidak boleh lagi bergantung kepada kempen kesedaran semata-mata, sebaliknya memerlukan struktur pendidikan yang teratur melibatkan sekolah, ibu bapa dan masyarakat memandangkan ancaman kini jauh lebih kompleks.

Pemahaman masyarakat terhadap kerangka undang-undang keselamatan digital juga, katanya penting supaya pengguna bukan sahaja mengetahui larangan, tetapi memahami hak dan perlindungan yang disediakan kerajaan.

Menurut Siraj, kadar pematuhan 94 peratus yang dicatatkan platform media sosial hari ini tidak boleh dianggap memadai kerana metrik itu perlu ditingkatkan seiring perubahan ancaman.

“Kita tidak mahu angka 94 peratus itu menurun tahun hadapan. Sebaliknya biarlah meningkat kepada 95 peratus atau mungkin 99 peratus yang lebih bagus,” katanya.

Beliau turut mencadangkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) menerbitkan laporan pematuhan secara lebih kerap, sekurang-kurangnya setiap tiga atau enam bulan, bagi meningkatkan ketelusan dan menjadi rujukan pihak berkepentingan.

Siraj turut menyarankan pelaksanaan audit bebas dan penerapan prinsip reka bentuk berteraskan keselamatan supaya perlindungan kanak-kanak diintegrasikan sejak peringkat awal pembangunan platform.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan