WILAYAH - SARAWAK > BERITA

AKTA 747 : JKP SYOR SEMAK SEKSYEN KRITIKAL, TEKANKAN KESEIMBANGAN HAK ASASI DAN KESELAMATAN

03/12/2025 05:05 PM

KUALA LUMPUR, 3 Dis (Bernama) -- Kerajaan disarankan memperhalusi seksyen 4(5) dan seksyen 13 Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747) bagi memastikan ia selaras dengan prinsip kebebasan dan hak asasi manusia tanpa menjejaskan keselamatan negara.

Pengerusi Jawatankuasa Khas Parlimen (JKP) William Leong Jee Keen, berkata sejak pelaksanaannya, akta itu menimbulkan persoalan berkaitan keadilan, ketelusan, dan perlindungan hak asasi manusia, termasuk isu penahanan sehingga 28 hari tanpa semakan kehakiman, larangan jaminan, dan akses terhad kepada peguam.

“Realiti pelaksanaan akta ini menunjukkan kesannya tidak hanya tertumpu kepada individu yang ditahan, tetapi turut memberi impak lebih luas seperti tekanan psikologi terhadap keluarga, ketidakstabilan sosial, risiko penyalahgunaan kuasa, dan persepsi terhadap integriti sistem kehakiman,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menekankan bahawa sebarang pindaan harus dilaksanakan dengan berhati-hati supaya tidak menjejaskan keupayaan negara mengekalkan keselamatan dan ketenteraman awam.

Perkara ini merupakan antara lapan syor JKP bagi menambah baik Akta 747 yang dibentangkan pada sesi penerangan di Dewan Rakyat hari ini. JKP juga mencadangkan kerajaan memperhalusi definisi ‘kesalahan keselamatan’, ‘jenayah keganasan’, dan ‘jenayah terancang’.

Seksyen 4(5) membenarkan penahanan sehingga 28 hari tanpa semakan kehakiman, manakala seksyen 13 hampir menafikan hak jaminan kecuali dalam keadaan tertentu.

JKP turut mengesyorkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menetapkan garis masa lebih pendek bagi pelaksanaan pindaan Akta 747 supaya reformasi undang-undang dapat dilaksanakan secara telus dan berperingkat.

“Jawatankuasa juga mengesyorkan kerajaan mengembalikan kuasa budi bicara mahkamah dalam aspek reman, jamin, dan perbicaraan bagi menjamin keseimbangan antara kepentingan keselamatan negara dan hak asasi individu. Selain itu, penggunaan peranti pemantauan elektronik (EMD) harus diputuskan oleh mahkamah bagi memastikan keadilan,” katanya.

JKP turut mencadangkan agar KDN memastikan kebajikan tahanan, termasuk hak untuk mendapat makanan mencukupi dan rawatan perubatan sewajarnya, selaras dengan piawaian hak asasi manusia. Selain itu, JKP mencadangkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta agensi berkaitan menyediakan perkhidmatan psikologi kerana penahanan di bawah Akta 747 memberi kesan langsung terhadap kesejahteraan keluarga.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan