WILAYAH - SARAWAK > BERITA

RUU PERJANJIAN PENYELESAIAN ANTARABANGSA DIBENTANG DI DEWAN RAKYAT

03/12/2025 07:23 PM

KUALA LUMPUR, 3 Dis (Bernama) -- Rang Undang-Undang (RUU) Perjanjian Penyelesaian Antarabangsa Yang Terhasil Daripada Pengantaraan 2025 dibentang untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat hari ini.

Ia dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said yang memaklumkan bacaan kali kedua RUU itu akan dilakukan pada sesi mesyuarat akan datang.

RUU itu bertujuan menguatkuasakan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Perjanjian Penyelesaian Antarabangsa yang Terhasil daripada Pengantaraan (Konvensyen) yang ditandatangani Malaysia pada 7 Ogos 2019.

Ia juga bertujuan mewujudkan kerangka undang-undang yang perlu bagi melaksanakan kewajipan di bawah konvensyen dan memudahkan penguatkuasaan perjanjian penyelesaian antarabangsa di Malaysia.

Ini akan menggalakkan penggunaan pengantaraan sebagai suatu cara yang berkesan untuk menyelesaikan pertikaian komersial antarabangsa.

Bagaimanapun, Fasal 3 RUU itu memperuntukkan bahawa undang-undang berkenaan tidak terpakai bagi perjanjian penyelesaian antarabangsa tertentu termasuk perjanjian yang dipersetujui untuk menyelesaikan pertikaian daripada transaksi bagi maksud peribadi, keluarga atau rumah tangga, atau perjanjian diluluskan oleh suatu mahkamah, atau dipersetujui dan direkodkan sebagai suatu penghakiman mahkamah, atau dikuatkuasakan sebagai award timbang tara.

Selain itu, Fasal 4 memperuntukkan suatu permohonan boleh dibuat kepada Mahkamah Tinggi oleh suatu pihak kepada perjanjian penyelesaian antarabangsa supaya perjanjian itu direkodkan Mahkamah Tinggi bagi maksud untuk menguatkuasakan perjanjian penyelesaian antarabangsa di bawah RUU yang dicadangkan.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan