WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SUSPEK ANCAMAN BOM PALSU DI TERMINAL 1 KLIA DISERAH KEPADA POLIS

03/12/2025 05:03 PM

PUTRAJAYA, 3 Dis (Bernama) -- Seorang individu yang mencetuskan ancaman bom palsu membabitkan pelepasan penerbangan tempatan di Terminal 1 Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) semalam telah ditahan dan diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dalam kenyataan hari ini memaklumkan insiden itu pertama kali dilaporkan pada 5.32 petang sejurus sebelum waktu berlepas yang dijadualkan. 

Pasukan Keselamatan Penerbangan telah mengaktifkan protokol respons yang diperlukan, menutup kawasan terbabit dan melakukan penyelarasan dengan pihak berkuasa berkaitan. 

“Pasukan Keselamatan Penerbangan bersama-sama PDRM dan unit pemusnah bom, telah menyelesaikan penilaian terperinci di lokasi kejadian. 

“Pihak berkuasa telah mengisytiharkan operasi ditamatkan pada 8.58 malam sekali gus mengesahkan bahawa keadaan adalah selamat dan insiden itu merupakan amaran palsu,” menurut kenyataan itu.

MAHB memaklumkan bahawa semua penumpang berada dalam keadaan selamat sepanjang proses itu dan pesawat terbabit kemudian berlepas pada 7.19 malam. 

“Operasi di lapangan terbang kemudian berjalan tanpa sebarang gangguan,” menurut kenyataan itu sambil mengingatkan semua pengembara bahawa membuat ancaman palsu merupakan kesalahan yang serius di bawah undang-undang Malaysia.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan