WILAYAH - SARAWAK > BERITA

TANAH RUNTUH: DENDA RM500 PENGGUNA INGKAR ARAHAN PENUTUPAN JALAN GUA MUSANG-LOJING

04/12/2025 08:50 PM

GUA MUSANG, 4 Dis (Bernama) -- Pengguna jalan raya yang melanggar arahan penutupan Jalan Gua Musang-Lojing boleh dikenakan denda RM500, susulan masih ada individu dikesan melepasi penghadang keselamatan di kawasan tanah runtuh itu.

Ketua Polis Daerah Gua Musang Superintendan Sik Choon Foo berkata kompaun itu boleh dikenakan mengikut Seksyen 79(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 terhadap mana-mana individu yang ingkar arahan penguat kuasa.

“Motosikal pun tidak selamat melalui jalan ini kerana risiko runtuhan masih ada. Pihak polis menasihatkan semua pengguna agar mematuhi arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Sementara itu, Penghulu Pos Blau Salleh Angah berkata kira-kira 30 murid dari Kampung Selyeh, Kampung Kelaik dan Kampung Om di sini, tidak dapat menghadiri sesi persekolahan di Sekolah Kebangsaan Blau sejak semalam.

Beliau berkata penduduk Orang Asli suku Temiar di tiga kampung terbabit biasanya berulang-alik sejauh kira-kira 30 kilometer setiap hari untuk menghantar dan menjemput anak-anak ke sekolah, namun mereka tidak berani menggunakan laluan itu selepas ia diisytiharkan tidak selamat.

Tinjauan Bernama di Kilometer 45, berhampiran Pos Blau hari ini turut mendapati masih ada pengguna yang melanggar arahan papan tanda serta melepasi penghadang yang dipasang pihak berkuasa.

Dianggarkan lebih 4,000 penduduk Orang Asli di Tanah Tinggi Lojing kini berdepan kesukaran akibat terputus jalan perhubungan, termasuk tidak dapat menghantar anak ke sekolah susulan kejadian runtuhan di lokasi berkenaan.

Semalam, Bernama melaporkan Jalan Gua Musang-Lojing FT185 di Seksyen 107.6 berhampiran Pos Blau ditutup sepenuhnya kepada semua kenderaan susulan kejadian tanah runtuh.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan