WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PRODUK ASAS MHIT 2027 AKAN JADI PRODUK KENDIRI TANPA ELEMEN PELABURAN -- MOF

04/12/2025 10:34 PM

KUALA LUMPUR, 4 Dis (Bernama) -- Produk asas insurans perubatan dan kesihatan (MHIT) yang akan diperkenalkan pada awal 2027 akan menjadi produk kendiri tanpa sebarang kaitan dengan prestasi pelaburan, menurut Kementerian Kewangan (MoF).

Dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat yang dimuat naik di portal Parlimen, MoF berkata status pelan perubatan yang dijual sebagai "rider" (manfaat tambahan) kepada polisi berkaitan pelaburan (ILP) juga sedang dikaji semula oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

Di Malaysia, ILP direka bentuk dengan kadar premium yang rata sepanjang tempoh polisi melalui pembiayaan awal bagi menampung kos insurans pada masa hadapan.

Bagaimanapun, kadar premium ini tidak dijamin dan perlu dinaikkan jika ILP tidak lagi mampan untuk keseluruhan tempoh kontrak, termasuk akibat pulangan pelaburan yang lemah, penetapan semula harga kos insurans bagi MHIT rider, serta pengeluaran nilai akaun oleh pemegang polisi sendiri.

“Jika pemegang polisi tidak bersetuju untuk membayar premium tambahan atau tambah nilai, maka tempoh perlindungan ILP mungkin akan dipendekkan.

“Ini menjadikan ILP lebih kompleks dan pengguna perlu mempertimbangkan risiko-risiko ini dengan teliti,” kata kementerian itu dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat yang disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.

MoF berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) yang ingin tahu samada insurans berkaitan pelaburan akan diteruskan dalam asas MHIT yang bakal dilaksanakan oleh kerajaan.

Sim juga ingin tahu tindakan BNM terhadap syarikat-syarikat insurans yang menjual polisi berkaitan pelaburan yang menjanjikan pulangan tinggi tetapi gagal mencapai pulangan yang dijanjikan dan mengakibatkan sesetengah tempoh perlindungan dipotong secara drastik.

Kementerian itu berkata justeru, BNM telah menetapkan peraturan lebih ketat dalam pentadbiran perniagaan ILP bagi memastikan tingkah laku penjualan yang profesional dan beretika, selain meningkatkan ketelusan produk termasuk pendedahan maklumat.

“Sebagai contoh, syarikat insurans dan takaful diwajibkan untuk mendedahkan kemampanan polisi ILP kepada pemegang polisi secara tahunan termasuklah prestasi pelaburan dan kecukupan tahap premium semasa, bagi mengekalkan perlindungan sehingga tempoh polisi tamat,” kata kementerian itu lagi.

MoF berkata kerajaan komited melaksanakan reformasi menyeluruh untuk menambah baik sistem kesihatan negara berasaskan nilai agar perlindungan kesihatan kekal berdaya tahan, inklusif dan berpatutan. 

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan