WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PASUKAN POLO NEGARA MARA KE SEPARUH AKHIR SUKAN SEA THAILAND 2025

04/12/2025 10:33 PM

BANGKOK, 4 Dis (Bernama) -- Pasukan polo negara meneruskan rentak cemerlang apabila mengesahkan slot ke separuh akhir acara ekuestrian polo  Sukan SEA Thailand 2025 selepas menewaskan Brunei 6-5 dalam aksi sengit di VS Sports Club & Siam Polo Park, Samut Prakan, hari ini.

Skuad negara yang dipimpin Putera Sultan Pahang, Tengku Muhammad Iskandar Ri'ayatuddin Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah beraksi tenang untuk memastikan kemenangan tipis ke atas lawan yang memberi tentangan hebat.

Pengurus pasukan Datuk Shaiful Annuar Ahmad Shaffie berkata kedua-dua pasukan mempamerkan permainan berkualiti dengan Brunei jelas bangkit menunjukkan semangat juang tinggi selepas tewas 7-7.5 kepada tuan rumah, Thailand, semalam.

“Pemain kita memberikan aksi terbaik. Perlawanan terikat 5-5 sebelum kami berjaya mendapatkan gol kemenangan tiga minit sebelum wisel penamat,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Shaiful Annuar berkata pemain akan menikmati rehat selama tiga hari sebelum  kembali turun dalam aksi separuh akhir pada Isnin.

Beliau berkata lawan Malaysia di separuh akhir akan ditentukan selepas pertemuan antara Filipina dan Thailand, esok.

“Siapa pun lawan nanti, kami akan berikan segalanya demi memburu pingat emas,” katanya.

Dalam satu lagi perlawanan, Filipina menewaskan Indonesia 5.5-3 mengikut sistem handicap.

Sukan SEA Thailand 2025 dijadual berlangsung dari 9 hingga 20 Disember di dua wilayah, Bangkok dan Chonburi.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan