KUALA LUMPUR, 5 Dis (Bernama) -- Rang Undang-Undang (RUU) Keselamatan Sosial Pekerja (Pindaan) 2025 memperlihatkan komitmen untuk meningkatkan kebajikan pekerja, mengurangkan pendedahan risiko serta membina sistem perlindungan sosial yang lebih manusiawi dan berpandangan jauh.
Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat Tan Sri Lee Lam Thye berkata RUU yang memperkenalkan perlindungan bersejarah, Skim Lindung 24/7 itu merupakan satu pencapaian penting dan progresif dalam landskap perlindungan sosial di Malaysia.
Lee berkata cadangan pindaan yang meluaskan perlindungan kepada 24 jam sehari merupakan satu usaha besar dalam melindungi tenaga kerja negara.
“Buat pertama kalinya, lebih 10 juta pekerja sektor formal akan menikmati perlindungan bukan sahaja semasa waktu bekerja atau ketika dalam perjalanan, tetapi juga bagi kecederaan yang dialami di luar waktu bekerja, termasuk di rumah, di tempat awam dan semasa melakukan urusan peribadi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Lee berkata perlindungan 24 jam itu adalah tepat pada masanya dan diperlukan atas beberapa sebab, termasuk corak kerja dan kehidupan moden yang telah berubah dengan kemalangan boleh berlaku pada bila-bila masa serta kecederaan yang tidak dijangka boleh menimbulkan tekanan kewangan kepada keluarga, terutamanya isi rumah yang bergantung kepada seorang pencari nafkah.
Skim Lindung 24/7 memastikan keluarga kekal dilindungi daripada kehilangan pendapatan secara tiba-tiba, kos perubatan dan risiko kecacatan jangka panjang.
Reformasi ini mengukuhkan jaringan keselamatan sosial Malaysia dengan ketara dan mengiktiraf pekerja untuk mendapat perlindungan menyeluruh serta menjadikan Malaysia selaras dengan amalan terbaik antarabangsa yang menekankan perlindungan menyeluruh dan berterusan.
Lee berkata ketika Malaysia bergerak ke arah menjadi negara berpendapatan tinggi, perlindungan sosial yang kukuh adalah penting dan pindaan ini meletakkan asas yang kuat untuk reformasi masa depan yang mengutamakan rakyat, kestabilan dan daya saing negara.
Dewan Rakyat pada Selasa meluluskan RUU Keselamatan Sosial Pekerja (Pindaan) 2025, antara lain bertujuan memperkenalkan Skim Lindung 24/7, iaitu perlindungan menyeluruh kepada pekerja sepanjang masa termasuk di luar waktu bekerja.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial