SEREMBAN, 6 Dis (Bernama) -- Pembangunan berorientasi transit, Seremban Sentral, dijangka menjana perolehan perniagaan bernilai RM300 juta setahun dan mencipta kira-kira 2,500 peluang pekerjaan baharu pelbagai bidang sekali gus memacu pertumbuhan ekonomi Negeri Sembilan menjadi hab bandar moden dan berdaya saing.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata projek tersebut melibatkan pembangunan di atas tanah seluas 8.42 hektar dengan nilai pembangunan kasar RM2 bilion.
“Melalui pembangunan, dianggarkan dapat menjana perolehan perniagaan setahun sehingga RM300 juta termasuk sekurang-kurangnya RM15 juta pendapatan bulanan kepada tenaga kerja tempatan melalui penjanaan aktiviti ekonomi langsung dan rantaian sokongan.
"Pembangunan Seremban Sentral, menyasarkan sekurang-kurangnya 6,000 pengguna harian, akan menghubungkan perjalanan antara kerja, kediaman, pusat kesihatan dan gaya hidup dalam lonjakan besar ke arah mobiliti bandar moden,” katanya di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pecah tanah pembangunan berorientasi transit Seremban Sentral, anjuran Perbadanan Aset Keretapi (RAC) dan Sunway Group, selaku pemaju projek.
Hadir sama Pengasas dan Pengerusi Sunway Group Tan Sri Dr Jeffrey Cheah, Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah RAC, Datuk Seri Jana Santhiran Muniayan dan Ketua Pegawai Eksekutif RAC, Datuk Azhar Ahmad.
Loke berkata Seremban Sentral bukan sekadar projek pembangunan fizikal semata-mata malah simbol kebangkitan baharu yang memperkukuh identiti bandar itu sebagai pusat ekonomi moden dan mampan.
Beliau berkata fasa pertama pembangunannya bermula 2026 hingga 2030 menumpukan kepada komponen teras seperti Pusat Perubatan Sunway Seremban berkapasiti lebih 250 katil dengan keluasan 480,000 kaki persegi dan menjadi hospital pertama di Negeri Sembilan yang dibina bersebelahan Stesen Keretapi Seremban.
Pembangunan Seremban Sentral juga meliputi pusat beli-belah yang direka sebagai pusat komersial moden menara pejabat berkeluasan 300,000 kaki persegi dan akan menjadi antara bangunan tertinggi di negeri ini.
Fasa kedua melibatkan pembangunan tambahan kediaman, komersial dan kemudahan komuniti berkeluasan 3.2 juta kaki persegi yang akan dibangunkan secara berperingkat dari 2029 hingga 2039.
Loke berkata usaha itu juga memberi penekanan kepada pembangunan pelancongan perubatan di Negeri Sembilan, khususnya dengan kemasukan Pusat Perubatan Sunway yang akan menjadi pemangkin kepada sektor ini.
"Kita menjangkakan kehadiran pesakit dari luar negeri dan luar negara bukan sahaja untuk mendapatkan rawatan, malah juga secara tidak langsung akan merancakkan lagi aktiviti pelancongan di negeri ini," katanya.
Menteri Pengangkutan itu juga berkata projek tersebut akan mengekalkan elemen warisan sedia ada melalui pemuliharaan dan naik taraf Seremban Yard sebagai bangunan kolonial bersejarah selain mengekalkan pokok matang sebagai identiti landskap asal.
Sementara itu, Jeffrey berkata Negeri Sembilan mencatatkan pertumbuhan ekonomi memberangsangkan dalam beberapa tahun kebelakangan ini, dengan Seremban semakin muncul sebagai hab logistik dan perindustrian utama, dihubungkan kepada koridor pertumbuhan selatan Lembah Klang.
Beliau berkata momentum itu dijangka diperkukuh dengan pelaksanaan projek Seremban Sentral, memperluas dan meningkatkan rangkaian sambungan rel sekali gus menjadikan bandar itu sebuah pusat serantau yang lebih berdaya saing dan mudah diakses pada masa depan.
“Ini selaras dengan Lembah Wawasan Malaysia 2.0 yang diterajui kerajaan negeri dengan perancangan untuk mengubah negeri ini menjadi ekonomi bernilai tinggi dan sedia masa depan menjelang 2045,” katanya.
Beliau berkata Sunway berhasrat menjadi rakan yang kukuh, menyokong dan berjangka masa panjang dalam agenda berwawasan itu untuk memacu pembangunan ekonomi yang mampan, inklusif dan saksama.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial