WILAYAH - SARAWAK > BERITA

DAKWAAN JATUHKAN KERAJAAN: AGC MAHU SIASATAN BEBAS, TINDAKAN TANPA KIRA KEDUDUKAN

27/02/2026 06:23 PM

KUALA LUMPUR, 27 Feb (Bernama) -- Jabatan Peguam Negara (AGC) hari ini menegaskan bahawa siasatan berhubung dakwaan wujud cubaan menjatuhkan kerajaan serta mengganggu kestabilan negara perlu dilaksanakan secara menyeluruh, profesional dan bebas daripada sebarang campur tangan. 

Dalam kenyataan hari ini, AGC memaklumkan bahawa mana-mana pihak yang didapati terlibat, sekiranya ada, hendaklah dipertanggungjawabkan mengikut undang-undang yang berkuat kuasa tanpa mengira kedudukan atau latar belakang. 

Menurut AGC, jabatan itu juga memandang serius isu berkenaan kerana sebarang tindakan atau perancangan berunsur menggugat ketenteraman awam, kestabilan politik dan keselamatan negara merupakan perkara yang menyentuh asas sistem demokrasi berparlimen serta prinsip kedaulatan undang-undang.

AGC turut menyatakan jabatan itu akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan proses perundangan sewajarnya dapat dilaksanakan selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dan prinsip kedaulatan undang-undang.

“Sebarang keputusan berhubung pendakwaan akan dibuat secara bebas dan objektif berdasarkan fakta, keterangan serta pertimbangan undang-undang,” menurut kenyataan itu. 

Pemakluman oleh AGC itu merujuk kepada kenyataan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail hari ini berhubung siasatan yang dijalankan PDRM terhadap dakwaan cubaan menjatuhkan kerajaan serta mengganggu kestabilan negara. 

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan